EKONOMI > BERITA

BMI Unjur Ringgit RM4.00 Hujung 2024, RM3.55 Menjelang Akhir Tahun Depan

27/09/2024 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions, menyemak naik unjuran ringgit bagi akhir 2024 kepada RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada RM4.55 sebelum ini.

Perkembangan itu turut memaparkan prestasi cemerlang ringgit dalam suku ketiga 2024.

BMI berkata dalam tempoh jangka pertengahan, ia kekal positif terhadap ringgit susulan perbezaan hasil yang mengecil dengan Amerika Syarikat (AS) selain prospek pertumbuhan yang agak berdaya tahan, sekali gus menyuntik petanda baik untuk unit tempatan berkenaan.

“Risiko terhadap unjuran kami adalah kelemahan ringgit dengan sebahagian besarnya bergantung kepada trajektori kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) dan pertumbuhan China,” katanya dalam nota komentarnya hari ini.

Menyentuh prospek jangka pendek selama enam bulan, BMI berkata ringgit terbukti dapat menyanggah trend penyusutan ketaranya sejak awal 2024 untuk naik 12.1 peratus pada suku ketiga 2024, sekali gus menjadikannya mata wang pasaran sedang pesat membangun dengan prestasi terbaik rantau ini.

Sejajar dengan prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam suku ketiga 2024, BMI bertindak menyemak naik unjurannya pada purata RM4.35 berbanding dolar AS daripada RM4.55, sebelum ini.

Ringgit juga secara teknikalnya mencecah paras rintangan aliran pelbagai tahun pada paras RM4.20 bagi setiap dolar AS pada 23 Sept, 2024.

“Kami melihat skop ringgit untuk mencecah paras rintangan seterusnya pada RM4.00/dolar AS menjelang akhir 2024, walaupun indeks kekukuhan relatif yang dilihat terlebih jualan masih berlaku dan boleh menjurus kepada penyusutan nilai dalam tempoh singkat.

“Unjuran kami juga lebih realistik daripada Bloomberg yang mengunjurkan RM4.30,” kata BMI.

Dalam pada itu, ia juga menjangkakan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia akan mengecil dengan lebih cenderung memihak ringgit.

BMI sebelum ini menjangkakan Fed untuk memulakan kitaran lebih mereda pada pengurangan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat September.

Bagaimanapun, Fed memutuskan pengurangan sebanyak 50 mata asas yang menurunkan kadar faedah itu kepada 5.00 peratus.

“Kami berpendapat Fed akan meneruskan kitaran penurunan itu dalam bulan-bulan mendatang, termasuk mengurangkan 75 mata asas pada suku keempat 2024 berbanding 50 mata asas sebelum ini.

“Ini menunjukkan bahawa perbezaan hasil lebih kecil itu akan menyokong ringgit, terutamanya jika unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada 3.00 peratus pada akhir 2024 terbukti benar,” katanya.

Melangkaui tempoh enam bulan, BMI mengunjurkan ringgit untuk mengukuh sehingga 9.0 peratus pada 2025, mencecah RM3.55 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025.

Susulan itu, ia menyemak naik unjuran bagi ringgit untuk tempoh itu pada purata RM3.80 berbanding dolar AS daripada RM4.48, sebelum ini.

Pemacu utama perkembangan itu adalah tindakan pelonggaran dasar sehingga 125 mata peratusan pada 2025 yang menyaksikan kadar faedah Fed turun kepada 3.00 peratus menjelang akhir tahun itu.

“Sebaliknya, BNM dijangka mengekalkan OPR pada 3.00 peratus sepanjang akhir 2025,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan