EKONOMI > BERITA

Pengembangan Westports 2 Pastikan Malaysia Kekal Hab Maritim, Logistik Global

27/09/2024 02:50 PM

PELABUHAN KLANG, 27 Sept (Bernama) – Pembangunan fasa dua projek pembesaran terminal kontena Westports Holdings Bhd, Westports 2,  merupakan satu langkah penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai hab maritim dan logistik global pada masa depan.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata pembangunan lapan terminal kontena baharu dari Terminal Kontena CT10 hingga Terminal Kontena CT17 itu bakal menggandakan kapasiti pengendalian kontena Westports kepada 28 juta unit bersamaan 20 kaki (TEUs) daripada 14 juta TEUs yang direkodkan pada masa kini.

“Pembinaan terminal kontena baharu ini penting bukan sahaja untuk memenuhi permintaan semasa tetapi juga untuk bersedia bagi pertumbuhan jumlah perdagangan yang dijangka meningkat dalam dekad akan datang,” kata beliau dalam ucapan aluan-aluan sempena majlis pecah tanah Westports 2, di sini, hari ini.

Ruben Emir berkata sembilan terminal kontena sedia ada di Westports kini beroperasi pada kadar penggunaan lapan puluh peratus dan akan mencapai kapasiti maksimum dalam beberapa tahun akan datang. 

“Ini telah mendorong kami membuat keputusan untuk menambah kapasiti terminal,” katanya.

Beliau berkata projek pengembangan Westports 2 itu juga dijangka menyumbang sebanyak RM55 bilion kepada ekonomi Malaysia sepanjang tempoh projek tersebut berdasarkan Laporan Penilaian Impak Ekonomi oleh PricewaterhouseCoopers pada 12 Dis, 2022. 

Menurutnya, sehingga kini, Westports telah menyumbang hampir RM4 bilion kepada kerajaan dalam bentuk cukai korporat dan bayaran pajakan dan susulan pengembangan baharu itu jumlah itu dijangka meningkat dengan ketara dalam tempoh 30 tahun akan datang.  

“Dalam pada itu juga, tanah yang  dibeli untuk pembangunan Westports 2 yang bernilai lebih daripada RM600 juta akan kelak menjadi milik kerajaan secara percuma,” kata Ruben Emir.

Beliau berkata Westports 2 akan mewujudkan zon bebas baharu dengan keluasan tanah sebanyak 550 ekar (202.3 hektar) 

“Kawasan zon bebas ini akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan merangsang lebih banyak pusat pengedaran serantau dan global seperti IKEA, Robert Bosch dan Marks and Spencer yang telah sedia berada di sini,” katanya.

Sementara itu, pada majlis itu juga turut diumumkan kerjasama unik tiga pihak antara Westports, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

“Westports berbesar hati melancarkan Selangor Environmental Conservation and Cultural Alliance bersama Selangor Maritime Getaway dan Yayasan Hijau Malaysia. 

“Ini akan menyatukan kerjasama korporat, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang komited untuk bekerjasama dalam memastikan pemuliharaan alam sekitar yang lestari bagi hutan bakau, hidupan marin serta pembangunan komuniti,” katanya.

 Pelabuhan Klang menduduki tempat ke-11 dalam Senarai 100 Teratas Pelabuhan Llyod’s 2023, naik dua anak tangga berbanding kedudukan ke-13 pada 2022.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook terdahulu menyasarkan Pelabuhan Klang berada dalam kelompok 10 menjelang tahun depan.

Pelabuhan Klang turut menunjukkan indikator positif dengan statistik kendalian kontena semasa dagangan import dan eksport meningkat sebanyak 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2023, Pelabuhan Klang mengendalikan sebanyak 14.06 juta unit TEUs, peningkatan sebanyak 6.3 peratus berbanding 13.22 juta TEUs pada 2022.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan