EKONOMI > BERITA

Ringgit Dijangka Terus Meningkat Minggu Depan, Dalam Persekitaran Prospek Berhati-hati Data Ekonomi AS

28/09/2024 10:10 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Ringgit dijangka terus meningkat minggu depan, meskipun peniaga kekal berhati-hati terhadap petunjuk ekonomi utama Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata beberapa data penting perlu diperhatikan, termasuk indeks ISM AS untuk sektor pembuatan, Tinjauan Pembukaan Pekerjaan dan Perolehan Buruh (JOLTS), perubahan pekerjaan ADP, dan angka Gaji Bukan Ladang (NFP).

Peniaga juga akan memantau Tinjauan Tankan Jepun minggu depan untuk menilai sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat Jepun.

“Secara keseluruhannya, ringgit sepatutnya mendapat sokongan yang lebih kukuh. Paras sokongan serta-merta ialah pada RM4.0728, dan ia mungkin cuba mencapai paras itu minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kenaikan semasa ringgit telah melangkaui perbezaan kadar faedah AS-Malaysia dan kini sebahagian besarnya didorong oleh usaha rangsangan China.

Beliau berkata keadaan ini meletakkan mata wang itu dalam kedudukan sedikit tidak menentu, susulan pengukuhannya terikat dengan prospek pemulihan ekonomi China.

“Bagaimanapun, dalam jangka pendek, saya mengunjurkan ringgit kekal disokong oleh jangkaan penurunan kadar Rizab Persekutuan selanjutnya, walaupun ia masih terdedah kepada sebarang pergerakan menaik dalam hasil AS,” katanya.

Innes juga berkata di peringkat tempatan pasaran mungkin lebih tenang minggu depan, dengan cuti "Golden Week" China melembapkan aktiviti serantau, yang bermakna ringgit akan lebih sensitif kepada faktor global, terutamanya data ekonomi AS.

"Saya menjangkakan terdapat sedikit pengukuhan, mungkin dengan sedikit kecenderungan untuk menurun menjelang laporan NFP minggu depan. Namun, saya tidak melihat gandingan dolar AS/ringgit akan menghampiri paras 4.15 kecuali data dari AS memberikan bacaan yang positif," katanya.

Ringgit Malaysia telah mengukuh sebanyak 1.6 peratus minggu ke minggu berbanding dolar AS. Dalam tempoh enam bulan, ringgit meningkat 14.76 peratus berbanding dolar AS.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit melonjak kepada 4.1230/1280 berbanding dolar AS daripada 4.2005/2070 minggu lepas. Ia mencecah paras 4.12 pada hari Rabu, menandakan tahap paling kukuh sejak Jun 2021.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding euro, ditutup pada 4.6009/6064 daripada 4.6878/6950 minggu lepas, naik berbanding pound Britain kepada 5.5178/5245 daripada 5.5841/5928, dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8804/8841 daripada 2.9182/9229 seminggu sebelum itu.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2146/2187 daripada 3.2507/2559, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 272.5/273.0 daripada 277.2/277.8 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.35/7.55 daripada 7.55/7.56 seminggu sebelumnya.

Ringgit, bagaimanapun, susut berbanding baht Thailand kepada 12.7202/7407 daripada 12.7026/7288.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan