EKONOMI > BERITA

Keuntungan Bersih Astro Malaysia Melonjak 132.3 Peratus Kepada RM54.71 Juta

30/09/2024 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd melonjak sebanyak 132.3 peratus kepada RM54.71 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2024 berbanding RM23.65 juta yang direkodkan pada tahun sebelum ini.

Astro berkata peningkatan itu disebabkan oleh kos pembiayaan bersih yang agak minimum, didorong oleh pertukaran asing tidak direalisasi yang menggalakkan yang timbul daripada liabiliti pajakan tidak dilindungi dan pelunasan aset tidak ketara yang lebih rendah. 

Bagaimanapun, perolehan merosot sebanyak 6.0 peratus kepada RM787.30 juta daripada suku yang sama sebanyak RM837.37 juta berikutan pengurangan dalam hasil langganan dan pengiklanan. "Pendapatan bagi segmen televisyen pada suku semasa adalah berjumlah RM752.7 juta, turun 5.2 peratus berbanding suku yang sama susulan hasil daripada penurunan dalam pendapatan langganan serta pendapatan pengiklanan," katanya dalam satu makluman kepada bursa.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai 2024, Astro mencatatkan keuntungan bersih RM71.72 juta, manakala hasil turun 7.9 peratus kepada RM1.56 bilion. 

Melangkah ke hadapan, Astro kekal berwaspada dalam memantau keadaan ekonomi tempatan disebabkan sentimen pelanggan yang agak lemah selain faktor geopolitik yang terus menjejaskan industri. "Pengukuhan berterusan ringgit akan membantu mengurangkan beberapa tekanan kos yang berasaskan dolar US dalam jangka sederhana," katanya.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan