EKONOMI > BERITA

Kerajaan Masih Tanggung Perbelanjaan Subsidi Diesel - Rafizi Ramli

30/09/2024 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Kerajaan masih lagi menanggung perbelanjaan pemberian subsidi diesel pada masa ini kepada sektor-sektor yang layak, menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Dalam Audio Siar ‘Yang Bakar Menteri’ (YBM) Episod Keenam, beliau berkata walaupun harga diesel diapungkan, masih terdapat sektor-sektor yang harganya diberikan subsidi kepada golongan tertentu seperti nelayan, pengangkutan awam serta industri logistik.

“Sekarang ini (subsidi diesel) tidak diapungkan 100 peratus, ia hanya melibatkan pengguna persendirian sahaja.

“Dan jumlah keseluruhan kepada kerajaan itu masih lagi signifikan kerana kita tidak menghapuskan subsidi, kita hanya menyasarkan sahaja,” katanya bagi menjawab soalan Lim Sian See atau nama sebenarnya  Datuk Eric See-To mengenai harga runcit diesel yang tidak mengikut harga pasaran semasa.

Kementerian Kewangan sebelum ini menyatakan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel melibatkan penetapan harga mengikut harga pasaran.

Pada 10 Jun 2024, kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula di stesen-stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata lebihan wang daripada perbezaan harga diesel dengan harga semasa digunakan untuk membayar subsidi yang masih lagi diberikan oleh kerajaan kepada golongan sasar.

“Oleh itu, kalau ada perbezaan dari segi harga mingguan itu, ada masanya akan jadi lebih dan ada masanya kurang, jadi kesan bersih daripada lebih atau kurang harga itu masih lagi menjadi perbelanjaan utama kerajaan dalam bentuk subsidi diesel.

“Sekiranya ada lebihan pada minggu ini ia akan dibawa ke minggu hadapan ataupun wang itu sebenarnya digunakan untuk membayar subsidi yang masih lagi berbilion-bilion ringgit kepada pengangkutan awam dan semua sektor yang telah ditetapkan termasuklah inisiatif BUDI MADANI,” tambahnya.

BUDI MADANI adalah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak meliputi bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) serta syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Pada audio siar itu, See-To yang merupakan individu yang menggunakan nama samaran Lim Sian See dalam laman sosial Facebook bersetuju menjadi tetamu untuk program tersebut.

Beliau merupakan sebahagian pasukan komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) ketika Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan Perdana Menteri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan