EKONOMI > BERITA

Kerajaan Mahu Syarikat Teknologi Tempatan Kembang Perniagaan Di Malaysia - Gobind

04/10/2024 10:07 PM

CYBERJAYA, 4 Okt (Bernama) -- Pelaburan asing mencatatkan lonjakan dalam ekonomi digital Malaysia, justeru kerajaan mahu melihat lebih banyak syarikat teknologi tempatan mengambil peluang tersebut dan mengembangkan perniagaan mereka di negara ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata satu daripada pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk merealisasikan aspirasi itu ialah inisiatif Gateway, Amplify, Invest & Nurture (GAIN) oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

GAIN bermatlamat untuk memacu program akses pasaran bagi syarikat teknologi Malaysia melalui padanan perniagaan kepada perniagaan dan aktiviti rangkaian dengan penggiat ekosistem teknologi global.

“Sejak 2017, GAIN telah mengakses pasaran terhadap lebih 26 negara. Ia telah menyaksikan penglibatan lebih 150 syarikat teknologi Malaysia dan menganjurkan lebih 1,000 mesyuarat perniagaan satu dengan satu.

“Berikutan kemudahan langsung menerusi GAIN, kita telah menyaksikan perolehan sebanyak RM31.9 bilion dari 2017 sehingga kini, dan eksport bernilai RM11.2 bilion,” katanya dalam ucapan pada acara Koktel DIGERATI50 Networking di sini hari ini.

Gobind berkata ekonomi digital dijangka berperanan penting dalam keseluruhan ekonomi Malaysia berikutan ia diunjurkan menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara menjelang akhir tahun depan.

Beliau berkata Malaysia berada di landasan yang betul dalam mencapai sasaran itu, seperti yang dicerminkan menerusi peningkatan dalam pelaburan digital kepada RM66.22 bilion pada separuh pertama tahun ini, melebihi RM46.2 bilion pada 2023.

“Pelaburan ini bergantung kepada daya tahan dalam bidang digital. Walaupun kecerdasan buatan (AI) generatif, sebagai contoh, boleh membawa banyak manfaat kepada ekonomi dan masyarakat, kita juga perlu memastikan teknologi sedemikian dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Gobind berkata sejak sekian lama, Cyberjaya berjaya mewujudkan ekosistem teknologi, dengan syarikat yang terlibat boleh berkembang maju di bawah projek Koridor Raya Multimedia (MSC).

“Kemajuan dalam teknologi dan inovasi yang kita nikmati hari ini bermula sejak 28 tahun lepas. Projek MSC yang dilancarkan pada 1996 adalah titik permulaan perjalanan negara dalam teknologi dan Cyberjaya adalah nukleus MSC,” katanya.

Cyberview Sdn Bhd diberi tanggungjawab untuk memacu pertumbuhan ekosistem hab teknologi global yang holistik di Cyberjaya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata bandar itu telah menyokong lebih 100 syarikat pemula niaga, meraih jumlah pelaburan sebanyak RM255 juta, menjana RM792 juta perolehan terkumpul dan melahirkan 1,450 pekerjaan.

Beliau berkata Cyberjaya akan terus menjadi destinasi pelaburan pilihan oleh "syarikat terkemuka” dalam landskap teknologi digital, terutamanya berikutan peningkatan permintaan daripada syarikat tersebut untuk menubuhkan pusat data bagi rantau ini di Malaysia.

“Melalui infrastruktur digital utama sebagai teras kepada ekonomi digital -- pusat data ini -- dengan kedudukan kukuh, kita mengunjurkan perkembangan selanjutnya dalam pendigitalan di seluruh industri, terutama dalam bidang teknologi baharu seperti data raya, robotik dan AI generatif.

“Perusahaan dan perniagaan, contohnya telah mengintegrasikan AI dalam operasi dan aliran kerja. Kami teruja untuk melihat bagaimana AI akan mengubah industri, perkhidmatan dan masyarakat secara umumnya,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan