EKONOMI > BERITA

Penggunaan Media Sosial, Kesan Pempengaruh Di Malaysia Lebih Rendah Daripada Purata Serantau

07/10/2024 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Penggunaan media sosial dan kesan pempengaruh di Malaysia adalah lebih rendah daripada kadar purata serantau, menurut laporan penyelidikan bertajuk "Pemasaran pempengaruh E-dagang di Asia Tenggara".

Tinjauan terhadap 400 rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mendedahkan YouTube ialah platform paling popular dengan 87 peratus penggunaan, diikuti oleh Facebook dan TikTok, kedua-duanya pada 80 peratus dan Instagram pada 74 peratus.

Selebriti dan pempengaruh terkemuka memiliki kuasa yang besar di Malaysia, masing-masing memegang 62 peratus dan 61 peratus yang menunjukkan mereka sangat mempengaruhi keputusan untuk membeli.

Bagaimanapun, hanya 75 daripada 100 rakyat Malaysia membuat pembelian berdasarkan cadangan pempengaruh berbanding 82 orang di peringkat serantau.

Kategori yang paling mudah dipengaruhi ialah fesyen dan kecantikan dengan kadar pembelian masing-masing pada 65 peratus dan 61 peratus didorong oleh tokoh-tokoh media sosial. Impak pempengaruh di Malaysia agak kurang ketara berbanding negara-negara jiran Asia Tenggara.

Tinjauan itu, dengan kerjasama penyedia risikan pasaran e-dagang Asia Tenggara Cube Asia,  merupakan inisiatif daripada impact.com, platform pengurusan perkongsian.

Pengurus Besar (Asia Tenggara dan India) impact.com Antoine Gross berkata laporan terbaharu mendedahkan pempengaruh mendorong penukaran dalam barangan fizikal dan sektor pertumbuhan tinggi seperti pelancongan dalam talian dan perkhidmatan langganan.

“Melalui tinjauan pengguna dan perundingan pakar dengan pemasar dan pencipta jenama terkemuka, kita telah didedahkan bahawa cadangan daripada kuasa pempengaruh berupaya membentuk semula cara jenama berhubung dengan khalayak di Malaysia dan di seluruh rantau ini.

"Jenama yang gagal beralih kepada pemasaran pempengaruh berisiko untuk tertinggal," katanya dalam satu kenyataan.

Gross berkata di Asia Tenggara, landskap e-dagang sedang berubah dengan pantas, bergerak daripada sekadar pengembangan kepada keperluan kritikal untuk pembezaan strategik.

Beliau juga berkata saluran pengiklanan tradisional kehilangan impaknya apabila perhatian pengguna beralih kepada kandungan yang lebih tulen dan menarik.

Antara perkara penting untuk jenama yang ingin dibangunkan atau ditingkatkan melalui strategi pempengaruh mereka termasuk populariti perdagangan secara langsung, kuasa dalam mengulas produk dan peluang-peluang dalam pelancongan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan