EKONOMI > BERITA

Kerajaan Bantu Pekebun Kecil Penuhi Tarikh Akhir Terkini EUDR - Johari

08/10/2024 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) – Kerajaan mengumumkan sokongan kepada pekebun kecil kelapa sawit tempatan untuk membantu mereka memenuhi tarikh akhir Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) baharu, yang dilanjutkan sehingga 30 Dis 2025.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pelanjutan daripada tarikh akhir asal 2024 hingga 30 Dis 2025, akan membantu memastikan pekebun kecil mematuhi piawaian global.

“Sejumlah 73 peratus ladang-ladang di negara ini diruskan oleh perbadanan dan firma perladangan, manakala selebihnya adalah pekebun kecil yang memerlukan masa tambahan dan sokongan daripada kerajaan bagi mematuhi EUDR,” kata Johari pada sidang media sempena Forum Minyak Sawit Malaysia Kuala Lumpur (MPOF) hari ini.

Di bawah cadangan Suruhanjaya Eropah itu, syarikat-syarikat besar akan mempunyai masa sehingga 30 Dis 2025 untuk mematuhi tarikh akhir, manakala perusahaan kecil dan sederhana diberi tempoh hingga 30 Jun 2026, dengan tidak kurang daripada 45 negara meminta penangguhan dalam pelaksanaan EUDR. 

Menteri itu berkata kerajaan akan membantu pekebun kecil mematuhi empat aspek yang dituntut iaitu bebas penebangan hutan, kebolehkesanan, hak milik tanah yang sah dan amalan buruh yang baik.

Mengulas lanjut mengenai kelewatan dalam pelaksanaan EUDR itu, Johari berkata cadangan pelaksanaan secara berfasa dalam tempoh berkanaan akan membolehkan banyak negara pengeluar mengambil langkah yang perlu bagi mematuhi dan menambah baik dasar-dasar mereka.

“Pada masa yang sama, isu kritikal seperti mewujudkan kriteria penanda aras yang telus (apabila menilai kemampanan pengeluaran minyak sawit) perlu dilihat dengan teliti untuk tidak melabel negara pengeluar secara tidak adil sebagai 'berisiko tinggi'.

“Kami berharap parlimen Kesatuan Eropah (EU) akan memainkan peranan yang lebih akomodatif untuk menangani perkara ini demi kepentingan dunia,” kata beliau sebelum ini dalam ucaptamanya.

Pasaran tertentu telah memperkenalkan dasar perlindungan perdagangan melalui perundangan alam sekitar yang secara tidak adil telah menjejaskan pengeluar komoditi pertanian tertentu.

“Peraturan-peraturan ini secara tidak langsung boleh menghalang kemajuan ekonomi, terutama negara yang bergantung kepada komoditi pertanian sebagai sumber pendapatan utama untuk menyediakan keperluan kepada rakyat mereka seperti pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan dan infrastruktur awam,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata bahawa Pasukan Petugas EU-Malaysia-Indonesia telah menyelesaikan mesyuarat baru-baru ini dan ia berjalan lancar.

“Sesetengah negara memerlukan masa yang lebih lama bagi mematuhi keperluan (EUDR) tetapi kita sedang mencatatkan kemajuan,” tambahnya.

Sebelum ini, pihak industri telah melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan penyertaan inklusif dalam kalangan anggota pasukan petugas, yang telah menyebabkan kemajuan pasukan petugas yang lebih perlahan.

Johari turut memuji sektor minyak sawit Malaysia yang telah menunjukkan pertumbuhan positif pada 2024, dengan pengeluaran minyak sawit mencecah 12.6 juta tan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, menandakan peningkatan 10.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Pertumbuhan ketara ini boleh dikaitkan dengan dasar kerajaan yang konsisten selain penyelesaian beberapa isu utama seperti kekurangan buruh, yang telah memberi kesan ketara kepada industri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Jika aliran meningkat ini berterusan, kami berada di landasan untuk melangkaui 19 juta tan dalam pengeluaran tahun ini, yang akan menjadi pengeluaran tertinggi sejak 2020," katanya.

Sektor minyak sawit menyumbang kira-kira tiga peratus kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia dan menjana nilai eksport lebih daripada US$22 bilion (US$1=RM4.259).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan