EKONOMI > BERITA

ASEAN-BAC Rangka Beberapa Inisiatif Bagi 2025 Termasuk IPO ASEAN - Nazir Razak

10/10/2024 01:35 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail dan Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 10 Okt (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) telah merangka beberapa inisiatif utama yang akan diketengahkan sepanjang Malaysia memegang tampuk kepengerusian tahun depan, termasuk cadangan tawaran awam permulaan (IPO) ASEAN.  

Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Nazir Razak berkata cadangan itu bertujuan untuk mengalakkan pelaburan di rantau ini yang mempunyai penduduk seramai 680 juta orang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$3.8 trilion pada 2023.

Blok ASEAN yang dianggotai 10 negara itu merupakan yang kelima terbesar di dunia.

"Ketika ini, jika kita mahu senaraikan syarikat, katakan di Bursa Malaysia, kita keluarkan prospektus dan kita cuma boleh dapatkan pelaburan daripada rakyat Malaysia ataupun institusi dari Singapura dan pelabur antarabangsa jika dibolehkan oleh regulator (pengawal selia) mereka. 

"Yang kita mahukan ialah pada masa depan, bila kita nak senaraikan syarikat di Bursa (Malaysia), kita boleh pilih antara Malaysia prospektus atau ASEAN prospektus.

"Melalui ASEAN prospektus kita boleh cari pelaburan daripada sesiapa dalam populasi ASEAN. Jadi, ia adalah suatu yang boleh diterima," katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di ibu kota Laos ini.

 

ASEAN-BAC bekerjasama dengan SC perkenal IPO ASEAN

Nazir yang juga Naib Pengerusi ASEAN-BAC dan bakal mengambil alih jawatan pengerusi tahun depan berkata ASEAN-BAC akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk memperkenalkan inisiatif IPO ASEAN itu.

Menurutnya, idea berkenaan telah dibentangkan semasa mesyuarat ASEAN-BAC di Luang Prabang, Laos sebelum ini.

"Ia mendapat sambutan yang baik dalam kalangan negara anggota. Cuma ada kerumitan dari segi perundangan dan peraturan domestik (contohnya) dari segi cukai atau dari segi peraturan pertukaran asing kerana negara-negara berlainan mempunyai peraturan yang berbeza. 

"Boleh jadi tidak semua negara dapat menyertainya (IPO ASEAN) buat permulaan, mungkin kita mula dengan dua negara dulu dan kemudiannya ia (jumlah negara yang turut serta) berkembang dari situ," katanya. 

Selain IPO ASEAN, Nazir berkata, ASEAN-BAC akan turut mencadangkan negara-negara anggota mengiktiraf kategori yang dipanggil Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) untuk memupuk syarikat yang bukan bersifat tempatan atau global bagi merangsang lebih banyak perniagaan serantau.

Beliau berkata setelah diperakui sebagai ABE, sesebuah syarikat boleh menikmati insentif serta keistimewaan yang diberikan oleh negara anggota termasuk akses pasaran yang lebih besar selain boleh menjalankan penyumberan pihak ketiga seperti operasi teknologi maklumat (IT) di negara ASEAN lain.

Sementara itu, selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang memberi tumpuan kepada kesatuan, inklusif and kerjasama, Nazir berkata ASEAN-BAC akan turut memperkenalkan inisiatif berkaitan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, majlis itu akan mengkaji cadangan untuk mewajibkan setiap syarikat korporat dalam komuniti ASEAN menyalurkan sumbangan daripada keuntungan mereka bagi CSR.

"Jika kita lihat peraturan sekarang, setiap negara berbeza. Kalau kita nak belajar daripada negara India, setiap syarikat wajib menyumbang satu peratus (daripada keuntungan) kepada CSR. 

"(Setakat ini) tidak ada lagi negara di ASEAN yang mewajibkan perkara ini dan mekanisme pelepasan cukai setiap negara juga berbeza. Jadi kita mahu buat kajian dan bentangkan kepada kerajaan-kerajaan negara anggota ASEAN untuk menukar peraturan supaya pihak korporat boleh ada inisiatif untuk memberi lebih kepada CSR," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan