EKONOMI > BERITA

Malaysia Semakin Menarik Kepada Pelabur Asing - UBS Global Research

10/10/2024 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia menjadi semakin menarik kepada pelabur asing atas beberapa faktor, seperti kestabilan politik negara dan prestasinya dalam melaksanakan tanggungjawab fiskal, menurut UBS Global Research. 

UBS berkata daya saing Malaysia dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta dasar tenaga yang menuju ke arah sasaran sifar bersih, merupakan faktor lain yang menarik minat pelabur.

Dalam nota hari ini, penganalisisnya, Nicole Goh berkata negara ini juga mempunyai kumpulan bakat yang besar dengan jumlah graduan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang tinggi, pelbagai perjanjian perdagangan bebas dan skor yang baik berkaitan faktor kemudahan menjalankan perniagaan.

“Penyetempatan pelaburan langsung asing (FDI) telah berjaya di Malaysia. Contohnya, ekosistem E&E telah mendapat manfaat daripada permintaan pelaburan syarikat multinasional yang besar; limpahan positif turut memberi impak kepada syarikat pembinaan dan pasaran tenaga kerja,” katanya. 

Goh berpendapat pelaksanaan cukai minimum global sebanyak 15 peratus pada 2025 akan memberi impak kecil terhadap persaingan untuk FDI.

Beliau berkata walaupun trend deglobalisasi semakin meningkat apabila banyak negara berusaha untuk membawa balik syarikat melalui subsidi, ia tidak akan menghalang syarikat besar daripada terus berkembang di peringkat global.

“Walaupun sedemikian, Malaysia telah melaksanakan kriteria kandungan tempatan sebanyak 40 peratus, sejajar dengan piawaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Dari perspektif pemilik perniagaan, FDI ke Malaysia telah memberi manfaat yang besar kepada syarikat, terutamanya dalam subindustri yang menyokong industri E&E, menyaksikan aliran masuk FDI yang besar,” katanya.

Goh berkata prospek aliran masuk FDI pada separuh kedua 2024 adalah positif, dengan momentum yang baik daripada China, Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Katanya aliran masuk FDI tertumpu dalam sektor E&E tetapi terdapat juga minat dalam bidang kimia, teknologi hijau, jentera dan fabrikasi logam.

Selain E&E, Goh berkata teknologi hijau, jentera dan fabrikasi logam juga merupakan sektor yang mendapat perhatian serta masih terdapat minat yang kukuh dalam pelaburan pusat data.

“Jika Malaysia menjadi hab pusat data serantau, ini akan menjadi tarikan utama kepada syarikat yang berada di barisan hadapan inovasi teknologi untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya.

Goh berkata dengan Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, terdapat peluang untuk meningkatkan perdagangan antara ASEAN, yang kini hanya merangkumi 23 peratus daripada jumlah perdagangan semasa blok itu.

“Dari segi perjanjian perdagangan bebas, Malaysia boleh memulakan semula rundingan dengan Kesatuan Eropah mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Malaysia-Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) yang tergendala, merupakan perjanjian kerjasama ekonomi antara Malaysia dan anggota EFTA termasuk Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan