EKONOMI > BERITA

Pengeluaran Getah Asli Malaysia Turun 5.2 Peratus Pada Ogos - Perangkaan

10/10/2024 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia turun sebanyak 5.2 peratus kepada 35,979 tan metrik pada Ogos 2024 berbanding 37,960 tan dicatatkan semasa Jun 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perbandingan dari tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran NR menokok 14.9 peratus daripada 31,309 tan metrik pada Ogos 2023.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli Ogos kebanyakannya telah dipacu oleh sektor pekebun kecil pada 88.1 peratus berbanding 11.9 peratus oleh sektor estet.

“Jumlah stok getah asli pada Ogos 2024 merosot 13.7 peratus kepada 127,876 tan metrik daripada 148,106 tan metrik pada bulan sebelumnya, manakala kilang pemproses getah menyumbang 88.0 peratus daripada stok diikuti oleh kilang pengguna getah (11.1 peratus) dan ladang getah (0.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DOSM berkata eksport getah berjumlah 57,482 tan metrik pada Ogos, kenaikan 19.2 peratys berbanding 48,204 pada Julai disumbangkan oleh produk berasaskan NR seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah.

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport NR iaitu berjumlah 25.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Ogos 2024 diikuti Emiriyah Arab Bersatu (20.1 peratus), Jerman (10.1 peratus), Amerika Syarikat (AS) (9.6 peratus) dan India (8.3 peratus).

“Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah dengan nilai RM1.6 bilion pada Ogos 2024, melonjak 14.6 peratus berbanding Julai 2024 (RM1.4 bilion),” katanya. 

Memetik laporan Malaysia Rubber Board Digest diterbitkan pada Ogos 2024, DOSM berkata pasaran getah Kuala Lumpur adalah bercampur-campur dengan harga meningkat.

Harga purata bulanan lateks pekat merosot 2.0 peratus kepada 634.07 sen sekilogram (kg) pada Ogos berbanding 647.23 sen/kg bulan sebelumnya manakala getah sekerap jatuh 1.0 peratus kepada 664.26 sen/kg pada Ogos 8 daripada 670.80 sen/kg pada Julai 2024.

“Secara amnya, sentimen pasaran disokong oleh keuntungan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dalam persekitaran kebimbangan peniaga mengenai gangguan bekalan getah asli susulan ramalan cuaca buruk di negara pengeluar utama.

“Sentimen pasaran juga dirangsang oleh keyakinan terhadap penurunan kadar yang menjejaki data AS ditambah dengan harapan lebih banyak rangsangan daripada China untuk mengekalkan pemulihan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan