EKONOMI > BERITA

MIDA Capai Hampir Separuh Sasaran Pelaburan RM2.5 Bilion Pada Hari Kedua IGEM 2024

10/10/2024 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini mengumumkan pemeteraian tujuh memorandum persefahaman (MoU) dengan potensi pelaburan melebihi RM1 bilion dalam sektor hijau di acara Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau serta Produk Eko Malaysia (IGEM) 2024 di sini.

Angka itu merupakan hampir separuh daripada sasaran pelaburan sebanyak RM2.5 bilion bagi acara perdagangan tiga hari berkenaan yang bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pencapaian itu akan membolehkan Malaysia semakin hampir untuk merealisasikan matlamat pelepasan karbon sifar bersih dan memastikan negara ini kekal di barisan hadapan dalam inovasi hijau.

Lima MoU berkenaan dimeterai oleh Solarvest Holdings Bhd, termasuk dengan Greenrock Energy Co Ltd bagi pembangunan bersama dan pengoperasian sistem simpanan tenaga bateri; dengan Vista Contracting & Investment Global Pte Ltd (Samsung) bagi Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dan bersama Chailease Holding Co bagi pembangunan ladang solar di Malaysia.

Solarvest turut memeterai MoU dengan Alliance Bank Malaysia Bhd dan UKM Pakarunding Sdn Bhd untuk meneroka kerjasama dalam tawaran pembiayaan hijau, latihan dan penyelidikan dalam sektor tenaga boleh baharu.

Selain itu, Wezmart International Bhd dan Green Quarter Sdn Bhd akan bekerjasama dalam aspek perkhidmatan hijau, pelaporan kelestarian serta audit alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Green Quarter akan turut bekerjasama dengan CREX Private Ltd untuk menyediakan perkhidmatan perundingan sehenti bagi pengurangan karbon dan penyelesaian mampan.

Dalam pada itu, Sikh Shamsul Ibrahim berkata seiring perkembangan IGEM, MIDA turut menerima minat ketara daripada delegasi tempatan dan antarabangsa untuk melabur di Malaysia.

“Bagi baki (sasaran pelaburan) sebanyak RM1.5 billion, pasukan kami sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat, malah turut menerima minat daripada kedua-dua syarikat tempatan dan asing.

“Ada di antara mereka yang menemui kami beberapa hari lepas, termasuk satu delegasi dari Sweden dengan teknologi yang menarik,” katanya kepada pemberita pada majlis pertukaran MoU di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak empat projek kualiti hijau dengan jumlah pelaburan sehingga RM1.8 bilion telah diluluskan bagi tempoh separuh 2024.

“Kesemua projek-projek ini daripada tenaga boleh baharu (TBB) kepada mobiliti hijau, mewakili pelaburan berimpak tinggi yang penting dalam peralihan kepada ekonomi mampan.

“Kejayaan agenda hijau Malaysia memerlukan penglibatan semua pihak. Kami juga sedar pembangunan mampan ini memerlukan komitmen yang kukuh daripada semua pihak berkepentingan - perniagaan, pekerja dan setiap rakyat,” katanya.

Sikh Shamsul Ibrahim turut mengetengahkan langkah berani Malaysia dalam usaha penyahkarbonan ekonomi menerusi Strategi Pelaburan Hijau yang dilancarkan pada Ogos lepas.

“Kami menyasarkan untuk menarik pelaburan hijau bernilai RM300 bilion menjelang 2030, seiring dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih 2050 yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Strategi kami menumpukan tujuh bidang keutamaan iaitu TBB, kecekapan tenaga, hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan ekonomi kitaran,” katanya.

Pelaburan ini bertujuan memacu pembangunan sosioekonomi mampan sambil memastikan negara dapat mengurangkan pelepasan karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding paras 2005.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan