EKONOMI > BERITA

Prestasi Kewangan Kerajaan Persekutuan Lebih Baik Pada 2023, Catat Lebihan Hasil Dan Penurunan Defisit - Laporan Audit

15/10/2024 11:23 AM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan mencatatkan prestasi kewangan lebih baik pada tahun 2023 berbanding 2022 dengan peningkatan lebihan hasil sejumlah RM2.028 bilion dan penurunan defisit sejumlah RM8.595 bilion.

Ini menjadikan nisbah defisit negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 5.0 peratus pada 2023 berbanding 5.5 peratus pada tahun 2022, menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat hari ini.

“Baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan sejumlah RM10.217 bilion menunjukkan penurunan sejumlah RM1.734 bilion (14.5 peratus) berbanding RM11.951 bilion pada tahun 2022.

“Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian terhadap trend peningkatan liabiliti persekutuan yang terdiri daripada hutang persekutuan dan liabiliti kewangan yang meningkat sejumlah RM92.038 bilion (6.6 peratus) kepada RM1.492 trilion berbanding RM1.400 trilion pada tahun 2022,” kata laporan itu.

Selain itu, laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan Komitmen Jaminan berjumlah RM227.404 bilion meningkat sejumlah RM3.288 bilion (1.5%) berbanding tahun 2022 berjumlah RM224.116 bilion. Pada tahun 2023, sebanyak 13 syarikat mempunyai baki Komitmen Jaminan untuk memenuhi obligasi pinjaman masing-masing. 

Dalam pada itu, dividen yang diterima oleh kerajaan Persekutuan telah menunjukkan penurunan ketara sejumlah RM9.756 bilion (17.5 peratus) berbanding sejumlah RM55.815 bilion pada tahun sebelumnya.

Berhubung pengurusan liabiliti Persekutuan, laporan tersebut menunjukkan trend peningkatan dengan nisbah liabiliti Persekutuan kepada KDNK meningkat kepada 81.8 peratus berbanding 78.0 peratus pada tahun 2022.

Nisbah hutang Persekutuan kepada KDNK pada tahun 2023 pada kedudukan 64.3 peratus juga meningkat berbanding 60.2 peratus pada tahun 2022.

Manakala, nisbah statutori hutang kepada KDNK adalah 62.1 peratus pada tahun 2023 berbanding 57.5 peratus pada tahun 2022, menurut laporan itu.

“Jabatan Audit Negara (JAN) mengambil maklum inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan bagi memastikan pengurusan hutang Persekutuan yang berhemat, terutamanya menerusi pembaharuan fiskal dengan kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] di Parlimen pada 11 Oktober 2023.

“Kerajaan Persekutuan juga telah mengambil langkah rasionalisasi dan konsolidasi defisit secara berperingkat dengan unjuran defisit fiskal kepada 4.3 peratus kepada KDNK pada tahun 2024,” katanya.

Bagi menambah baik prestasi kewangan kerajaan Persekutuan, Ketua Audit Negara mengesyorkan beberapa perkara untuk diambil perhatian.

Ini termasuk kerajaan Persekutuan disarankan untuk meneruskan usaha meningkatkan hasil pendapatan melalui pelbagai sumber, meningkatkan tadbir urus dalam pengurusan perbelanjaan awam supaya kedudukan kewangan berada dalam keadaan lebih kukuh.

Kerajaan Persekutuan juga perlu memastikan pengurusan hutang awam yang berhemat bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman baharu, menurut laporan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan