EKONOMI > BERITA

Kerajaan Salur RM5.757 Bilion Kepada 261,651 Usahawan PMKS Sehingga Ogos 2024 – KUSKOP

14/10/2024 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan menyalurkan pembiayaan berjumlah RM5.757 bilion kepada 261,651 usahawan sehingga Ogos 2024 bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) melalui program pembangunan secara bersepadu dan bersasar.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata antara inisiatif berkenaan termasuk Program Pembangunan Kapasiti Vendor 2.0 yang melibatkan 30 syarikat vendor dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta.

“Selain itu, sehingga 30 Sept 2024, SME Corporation Malaysia (SME Corp) juga melaksanakan Program Business Accelerator (BAP) kepada seramai 197 usahawan PMKS melibatkan peruntukan sebanyak RM34.12 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang bertanya bilangan terkini usahawan PMKS dan usahawan informal selepas era pandemik COVID-19 serta langkah-langkah kementerian untuk membantu para usahawan meningkatkan jualan perniagaan mereka.

Ewon turut memaklumkan kerajaan juga menyediakan Skim Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) di bawah Bank Rakyat, termasuk untuk usahawan informal, dengan menawarkan pembiayaan sifar kadar keuntungan khusus bagi penjaja dan peniaga kecil.

“Sejak dilancarkan pada 7 Sept 2024, sebanyak RM567,500 telah diluluskan kepada seramai 19 orang usahawan.

“Platform MyMall turut diperkenalkan untuk menyediakan ruang pemasaran dalam talian secara percuma kepada PMKS dan koperasi tempatan, dan sehingga September 2024, seramai 2,544 peniaga telah berdaftar, menawarkan 2,082 produk dengan nilai jualan berjumlah RM8.86 juta,” katanya.

Menjawab tambahan soalan Muslimin berkaitan rancangan kerajaan memformalkan hampir sejuta usahawan informal dan menawarkan lebih banyak bantuan dalam Belanjawan 2025, beliau berkata kementerian telah mengadakan sesi libat urus di Semenanjung pada Ogos serta dengan pemegang taruh, termasuk penjaja dan peniaga kecil PMKS di Sabah.

Beliau turut berharap sektor ini akan diberi lebih penekanan dalam Belanjawan 2025 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Saya sendiri telah mempengerusikan Mesyuarat Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan untuk mendapatkan pandangan, cadangan, dan input mereka," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan