EKONOMI > BERITA

PMB Investment Umum Jumlah Agihan Kasar Dana Bestari RM2.88 Juta

14/10/2024 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- PMB Investment Bhd hari ini mengumumkan jumlah pengagihan kasar sebanyak RM2.88 juta untuk PMB Dana Bestari bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept 2024, dengan pemegang unit menerima pengagihan pendapatan sebanyak 2.93 sen seunit.

Pengerusi Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata PMB Dana Bestari telah memberikan pulangan serta pertumbuhan modal yang stabil sejak pelancarannya pada 2002 melalui pelaburan dalam ekuiti patuh Syariah dan sekuriti pendapatan tetap.

“Dana lazimnya melabur 70 peratus hingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dalam ekuiti patuh Syariah, dengan selebihnya dalam instrumen pasaran wang Islam, deposit dan sukuk,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Izwan Azzeri Kamal berkata pengagihan pendapatan ini mencerminkan komitmen syarikat untuk memberikan pulangan yang kukuh kepada pemegang unitnya.

“Kami sentiasa menyusun strategi pelaburan dana untuk mendahului pasaran serta pembangunan ekonomi bagi memastikan kami dapat memberikan hasil terbaik kepada pelabur,” katanya lagi.

PMB Investment berkata NAB seunit sebelum pengagihan ialah RM0.5479 dan selepas pengagihan, ia diselaraskan kepada RM0.5186.

Agihan ini telah dikreditkan kepada pemegang unit berdasarkan tarikh akhir 30 Sept 2024, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan menjelang 1 Okt 2024.

Pengagihan ini mewakili hasil sebanyak 5.99 peratus berdasarkan purata NAB seunit sepanjang tahun kewangan, dengan dana menjana jumlah pulangan sebanyak 12 peratus untuk tempoh yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan