EKONOMI > BERITA

Avaland Sasar Capai Pensijilan GreenRE Gold Menerusi Projek Avenue25

14/10/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pemaju hartanah Avaland Bhd menetapkan penanda aras baharu dengan menyasarkan semua fasa projek Avenue25 di Subang Jaya mencapai pensijilan GreenRE Gold.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata pembangunan projek bercampur itu menunjukkan komitmen syarikat dalam memupuk komuniti mampan yang mengutamakan integriti ekologi, hubungan sosial dan ekonomi yang rancak untuk komuniti dan penduduk setempat.

 “Avenue25 merangkumi tapak seluas 5.2 hektar (13 ekar), dilengkapi dengan kawasan hijau seluas enam ekar yang berdekatan, yang berkonsepkan perkampungan hijau menegak seperti dalam hutan.

"Berteraskan kemampanan, Avaland menetapkan penanda aras baharu di Subang jaya, dengan semua fasanya mencapai pensijilan GreenRE Gold," katanya.

Avaland melancarkan Avaland Show Village sempena projek Avenue25.

Ia juga berkata pelancaran Alora Residences Fasa 1 pada Ogos 2023 menyaksikan minat yang luar biasa dan akan memperkenalkan Alora Residences Fasa 2 bersama pelan induk penuh Avenue25 dalam beberapa minggu akan datang.

Fasa masa hadapan Avenue25 ialah pangsapuri servis tambahan, ruang runcit dan hab pengangkutan yang komprehensif,

“Pertumbuhan mampan Avaland mencerminkan keyakinan pasaran terhadap tawaran pemaju dan keupayaannya untuk memenuhi permintaan pelanggan. Memandang ke hadapan, kami kekal optimistik mengenai 2025,” kata kenyataan itu.

Syarikat itu mencatatkan peningkatan keuntungan bersih lebih tiga kali kepada RM42.8 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 berbanding RM11.2 juta sebelumnya manakala hasil meningkat lebih dua kali kepada RM432.9 juta daripada RM190.4 juta.

Jualan hartanah meningkat 78.6 peratus kepada RM476.3 juta, didorong oleh kadar penghunian yang tinggi untuk projek yang sedang berjalan termasuk Casa Embun Fasa 1 (99 peratus), Sanderling (90 peratus), Alira Subang Jaya (92 peratus), dan Amika Residences (60 peratus).

Sehingga 30 Jun 2024, jualan belum dibil berjumlah RM954 juta, meningkat daripada RM863 juta pada akhir 2023, memberikan kejelasan pendapatan yang kukuh untuk tahun-tahun akan datang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan