EKONOMI > BERITA

Northeast Group Cari Perincian Mengenai Inisiatif NSS Dalam Belanjawan 2025

15/10/2024 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Northeast Group Bhd yang bakal muncul buat kali pertama di Pasaran ACE menggesa kerajaan memberikan butiran lanjut mengenai Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) agar dapat kejelasan bagaimana kerajaan merancang untuk membantu pemain industri melalui Belanjawan 2025.

Pengerusi Northeast Group, Datuk Seri Lee Kah Choon berkata kumpulan itu tidak sabar untuk menerima butiran mengenai insentif yang akan kerajaan beri kepada industri pembuatan.

Syarikat itu juga berharap agar kerajaan melaksanakan inisiatif bagi memupuk lebih ramai bakat yang akan membantu memacu industri ke hadapan.

“Saya percaya inisiatif berkaitan bakat adalah penting memandangkan negara tidak boleh bergerak ke hadapan dan tidak boleh mempunyai ekonomi yang mampan tanpa bakat yang mencukupi untuk memacunya,” kata beliau semasa sidang media selepas majlis penyenaraian Northeast Group di sini hari ini.

Dalam jangka panjang, beliau menyatakan negara secara keseluruhannya memerlukan lebih ramai bakat bagi menarik aliran masuk pelaburan yang lebih tinggi ke dalam negara, yang mana pemain industri, termasuk Northeast Group, boleh mendapat manfaat daripada pelaburan ini dengan membantu mengembangkan operasi mereka.

Sementara itu, kemunculan sulung Northeast Group di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini menyaksikan sahamnya dibuka pada 53 sen, premium tiga sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 50 sen. Sejumlah 22.71 juta saham telah bertukar tangan.

Syarikat itu telah berjaya mengumpul kira-kira RM84.49 juta melalui terbitan awam 168.99 juta saham biasa baharu berdasarkan harga 50 sen sesaham.

Daripada jumlah kutipan tersebut, RM40.0 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan sebuah kilang baharu manakala RM12.4 juta akan dipakai bagi pembelian 36 mesin kawalan berangka komputer (CNC) selaras dengan rancangan kumpulan itu untuk mengembangkan asas pelanggannya selain memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan tempatan dan antarabangsa.

“Kilang baharu di Pulau Pinang ini akan menambah lagi 200,000 kaki persegi daripada jumlah ruang terbina dan akan menggandakan kapasiti pengeluaran kumpulan,” kata Lee.

Sebelum ini dilaporkan pembinaan kilang baharu itu, yang boleh memuatkan kira-kira 200 unit mesin CNC, dijadualkan bermula pada penghujung tahun ini manakala operasinya berkemungkinan berjalan menjelang suku pertama 2027.

Northeast Group memiliki kepakaran dalam pembuatan komponen kejuruteraan ketepatan yang digunakan dalam industri fotonik, elektrik dan elektronik, semikonduktor, telekomunikasi serta optoelektronik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan