EKONOMI > BERITA

SC Laksana Peranan Aktif, Sumbang Kepada Taksonomi ASEAN - Pengerusi

16/10/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terlibat secara aktif dalam  menyumbang kepada Taksonomi ASEAN melalui Lembaga Taksonomi ASEAN yang dianggotai kalangan bank pusat, pihak kawal selia sekuriti dan kawal selia insurans.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata taksonomi yang berfungsi sebagai panduan serantau untuk mengenal pasti dan mengklasifikasikan aktiviti kewangan mampan di rantau ini akan meningkatkan usaha setiap negara.

“Bagi memenuhi kepelbagaian ASEAN, taksonomi itu menetapkan pendekatan pelbagai peringkat -- Rangka Kerja Asas berasaskan Prinsip untuk penilaian kualitatif merentas semua sektor, dan A Plus Standard untuk penilaian kuantitatif dalam enam sektor tumpuan.

“Taksonomi ASEAN adalah taksonomi serantau pertama yang memperkenalkan sistem penilaian “lampu isyarat”, dengan kriteria kuning jingga membenarkan aktiviti peralihan yang mungkin tidak memenuhi kriteria hijau, (kerana ini) penting untuk menyokong ekonomi yang pelbagai memulakan usaha peralihan masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Skrine 2024 di sini, pada Rabu.

Mohammad Faiz berkata taksonomi muncul sebagai prinsip panduan yang berpengaruh dalam menyediakan sistem pengelasan yang jelas untuk pelaburan, memastikannya sejajar dengan matlamat kemampanan jangka masa panjang.

“Kita mendapati wujudnya lonjakan dalam perkembangan taksonomi merentas bidang kuasa, didorong oleh keperluan terhadap konsistensi dan kejelasan.

“Sejak Taksonomi ASEAN Versi 1 dikeluarkan pada 2021, negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina telah memperkenalkan taksonomi negara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata walaupun berasaskan Taksonomi ASEAN namun semua rangka kerja itu disesuaikan untuk selari dengan konteks tempatan, memastikan perkaitan dan koheren serantau dalam kewangan mampan.

“Berasaskan rangka kerja berstruktur, taksonomi membolehkan pelabur dan penerbit membuat keputusan bermaklumat, memupuk ekosistem kewangan mampan untuk ekonomi dan alam sekitar," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan