EKONOMI > BERITA

Lebih 10 Syarikat Bincang Potensi Pelaburan Di SVTP - Miti

17/10/2024 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Lebih 10 syarikat telah melawat dan mengadakan perbincangan berkenaan potensi pelaburan di Silver Valley Technology Park (SVTP) bagi 2023 sehingga suku ketiga 2024, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI berkata buat masa ini, Jinjing Silicon Technology dari China komited untuk melabur sebanyak RM40 juta bagi projek penghasilan kaca berkualiti tinggi untuk sistem tenaga solar. 

"Kilang yang bakal dibangunkan ini akan menjadi kilang pertama yang memacu pembangunan di kawasan SVTP. 

"Setakat ini, projek tersebut telah mencapai tahap pembinaan sebanyak 20 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2025," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

MITI menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berkenaan perancangan untuk membawa masuk industri ke SVTP di Parlimen Tambun, sementara menunggu pengoperasian Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) yang mengambil masa terlalu lama.

Berhubung KIGIP, kementerian itu memaklumkan segala usaha untuk merealisasikan KIGIP sedang dijalankan secara menyeluruh melalui kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Perak serta pihak SD Guthrie dan Permodalan Nasional Bhd, sejak ia diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Ia termasuk usaha menguar-uarkan peluang dan potensi KIGIP sebagai destinasi pelaburan pilihan kepada para pelabur.

"Kerajaan percaya KIGIP yang berkonsepkan Taman Perindustrian “Hijau dan Pintar” akan berupaya menjana aktiviti ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada bakat-bakat mahir.

"Ia juga dijangka dapat menarik pelaburan berkualiti terutamanya dalam sektor-sektor seperti elektrikal dan elektronik, semikonduktor, logistik, teknologi maklumat dan komunikasi serta industri berasaskan pengetahuan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan