EKONOMI > BERITA

Asas Ekonomi Teguh, Peningkatan Ringgit Tingkatkan Keyakinan Pelabur

18/10/2024 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Asas ekonomi Malaysia yang teguh dan prospek pertumbuhan menggalakkan akan diperkukuh melalui pembaharuan struktur sedia ada dan pasaran kewangan domestik berdaya tahan demi menarik pelaburan berkualiti tinggi seterusnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan hari ini berkata dasar monetari yang stabil terus menyokong pertumbuhan ekonomi mampan di samping mengekalkan kestabilan harga. 

“Pada masa sama, pasaran kewangan domestik yang kekal rancak memainkan peranan berkesan bagi menyokong keperluan pembiayaan berikutan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh. 

“Selain itu, prestasi pasaran saham tempatan yang bertambah baik dan pemulihan nilai ringgit menunjukkan komitmen padu Kerajaan dalam meningkatkan status ekonomi negara selaras dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Kementerian itu berkata pasaran kewangan Malaysia kekal berdaya tahan dan teratur.

“Bertunjangkan kerangka Ekonomi MADANI, pasaran kewangan domestik terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi disokong oleh kedudukan modal institusi kewangan yang teguh dan pasaran modal yang beroperasi dengan lancar,” katanya.

Di samping itu, Kementerian Kewangan berkata pendirian dasar monetari kekal tidak berubah dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus seiring dengan prospek inflasi dan prestasi pertumbuhan ekonomi. 

“Bagaimanapun, ketidaktentuan pasaran berikutan cabaran luaran seperti ketegangan geopolitik yang meruncing, tempoh kadar faedah global tinggi yang berpanjangan, pertumbuhan perlahan di China dan keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) mampu mempengaruhi prestasi pasaran kewangan domestik,” katanya.

Kementerian itu turut berkata hala tuju dasar Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka terus berpandangan ke hadapan dengan tumpuan untuk mengekalkan kestabilan harga bagi menyokong pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan menuju 2025.

Berkenaan ringgit, MoF berkata ia kembali pulih daripada penyusutan yang dialami selama tiga tahun berikutan pengukuhan dolar AS dan melonjak kepada RM4.3205 berbanding dolar AS iaitu rekod tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh 18 bulan dengan pengukuhan sebanyak 6.4 peratus (tahun setakat ini) pada akhir Ogos 2024. 

“Faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit adalah berikutan ekonomi domestik yang kukuh termasuk pemulihan eksport dan impak positif daripada tindakan terselaras oleh pihak berkuasa untuk menggalakkan penghantaran balik dan pertukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan korporat.

“Selain itu, kombinasi pelbagai faktor positif seperti prospek ekonomi yang menggalakkan, pembaharuan struktur berterusan serta penilaian positif daripada agensi penarafan antarabangsa dan penganalisis telah memulihkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata secara keseluruhannya, faktor tersebut telah mendorong ringgit untuk menjadi satu daripada mata wang terbaik di Asia. 

“Meninjau ke hadapan, pendekatan seluruh negara termasuk langkah untuk mengukuhkan ekonomi melalui kerangka Ekonomi MADANI dan dasar sokongan yang lain akan menyokong serta meningkatkan nilai ringgit,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan