EKONOMI > BERITA

Rakyat Jelata: Penerima Manfaat Sebenar Belanjawan 2025

18/10/2024 10:41 PM

Oleh Saraswathi Muniappan

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi sama sekali tidak menampakkan sebarang projek besar serta yang berprofil tinggi.

Seperti yang ditegaskan Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam ucapan pembentangan itu, belanjawan tersebut bukan tertumpu kepada pelaksanaan projek mega sebaliknya pembangunan negara diutamakan dengan projek berkepentingan rakyat.

Lantas, penekanan untuk meneruskan projek yang sedia ada seperti Lebuhraya Pan Borneo dan menambah taman berteknologi tinggi yang akan memberi manfaat kepada rakyat secara langsung.

Pendekatan yang seimbang dan bertimbang rasa untuk menangani keperluan negara, yang paling utama bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat, dicerminkan menerusi belanjawan itu.

Tidak dinafikan, tumpuannya terarah kepada kalangan rakyat jelata, menyasarkan segmen warga yang lemah dan melarat.

Ucapan Anwar jika diteliti, membahagikan golongan yang lemah dan kurang bernasib baik ini kepada beberapa kumpulan meliputi wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak autisme, Orang Asli.

Untuk menggalakkan lebih ramai wanita memasuki semula pasaran tenaga kerja, rebat cukai akan ditawarkan kepada majikan.

Mungkin ada yang terlepas, peruntukan RM64.1 bilion kepada  sektor pendidikan menerusi Belanjawan 2025 berbanding RM58.7 bilion bagi 2024 adalah jumlah tertinggi dalam sejarah.

Ini sejelas-jelasnya menunjukkan perkara yang menjadi keutamaan Anwar.

Terkait juga kemudahan untuk anak-anak melanjutkan pelajaran ke menara gading apabila kerajaan menyediakan RM4 bilion dalam bentuk biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan sekali gus lebih banyak peluang untuk golongan miskin terus menimba ilmu pengetahuan.

Pada 2025, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diteruskan dengan peruntukan melonjak kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion.

Peningkatan itu terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.

Anwar berkata 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan berbanding 700,000 penerima tahun ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan peningkatan peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM2.9 bilion daripada 2.4 bilion.

Langkah ini akan membolehkan bayaran kebajikan bulanan yang lebih tinggi diberikan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 daripada RM1,500 sebelum ini yang ternyata mengejutkan, adalah bantuan yang amat diperlukan dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah untuk menampung perbelanjaan harian. 

Meskipun angka itu mungkin masih tidak mencukupi berikutan harga barangan keperluan asas yang semakin meningkat, ia adalah satu langkah kecil dalam membina asas kewangan yang lebih baik untuk rakyat.

Pengumuman bahawa penyasaran subsidi petrol RON95 akan hanya dilaksanakan pada pertengahan Julai dan tidak menjejaskan 85 peratus rakyat, adalah berita yang melegakan.

Ini bererti, pada akhirnya individu yang lebih kaya dan warga asing perlu membuat pembayaran penuh. Sehubungan itu, kerajaan menjangka dapat menjimatkan sebanyak RM8 bilion setiap tahun hasil daripada perubahan ini.

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak disentuh dalam pembentangan belanjawan ini manakala Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang akan dikenakan ke atas barangan import bukan keperluan asas seperti ikan salmon dan avokado, turut memberikan kelegaan.

Projek infrastruktur yang memberi tumpuan kepada pembangunan wilayah seperti tebatan banjir dan pembesaran jalan raya dengan jumlah peruntukan RM120 bilion di bawah projek infrastruktur awam dan swasta akan diteruskan.

Projek-projek ini penting untuk keseimbangan pembangunan wilayah dan meningkatkan daya tahan ekonomi.

Bagi penulis yang peka dengan keadaan bangunan bersejarah iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad yang dilihat semakin usang, pengumuman bahawa usaha akan diambil untuk memulih dan mengangkat nilai bangunan itu adalah satu berita baik. 

Sudah sampai masanya untuk kita mengiktiraf warisan yang tidak boleh ditukar ganti seperti bangunan itu, yang telah berusia kira-kira 127 tahun.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2025 telah mengutamakan kebajikan sosial rakyat dengan pelbagai pemberian kepada golongan yang paling memerlukan sekali gus jelas membuktikan bahawa rakyat jelata  -- sebagai tunjang sebenar negara kita -- penerima manfaat sebenar belanjawan ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan