EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025: Peruntukan Terbesar Terjemahan Kepada Tatakelola Baik, Disiplin Fiskal Berhemat - Rafizi

20/10/2024 03:13 PM

PUTRAJAYA, 20 Okt (Bernama) -- Peruntukan terbesar dalam sejarah sebanyak RM421 bilion menerusi Belanjawan 2025 merupakan terjemahan hasil tatakelola yang baik, disiplin fiskal berhemat dan pertumbuhan ekonomi negara yang cepat, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata faktor itu membolehkan kerajaan berbelanja lebih tetapi masih kekal pada sasaran fiskal bertanggungjawab yang telah ditetapkan dan komitmen untuk terus mengurangkan hutang negara.

“Hutang tahunan itu daripada RM100 bilion pada 2022 kemudian turun kepada RM95 bilion, RM90 bilion, RM85 bilion dan tahun depan RM80 bilion. 

“Ini kerana dari segi fiskal itu ialah kita perlu mengurangkan hutang baharu tahunan dan ini untuk kita mencecah sekitar 60 peratus hutang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) menjelang 2028,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) dan PraPelancaran Laman Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 dengan peruntukan RM421 bilion, meliputi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion untuk pembangunan.

Menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai menepati semua perancangan kerajaan, Rafizi berkata belanjawan itu memberi ruang dan tumpuan penting selaras dengan Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling ekonomi dan lantai pendapatan rakyat.

“Kita berada di landasan yang betul tanpa kita memotong perbelanjaan rakyat. Sebenarnya projek terus berjalan macam biasa (malah) akan lebih banyak, gaji penjawat awam dinaikkan, peruntukan untuk gaji progresif swasta telah bermula tetapi dengan jumlah yang besar itu tidak dicapai dengan berhutang seperti sebelum ini,” katanya.

Bagi menaikkan siling ekonomi, katanya kerajaan menumpukan kepada bentuk pelaburan yang penting kerana usaha itu akan memacu ekonomi negara.

Bagi menaikkan lantai pendapatan rakyat pula, Rafizi berkata kerajaan memberi fokus utama kepada golongan rentan melalui peruntukan yang akan diagihkan dalam bentuk bantuan serta pelaksanaan program yang berpotensi menjana pendapatan dan ekonomi golongan itu. 

“Kita menjaga kumpulan ini. Sebenarnya lebih besar tambahan kepada STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan tambahan kepada bentuk bantuan kepada golongan rentan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 turut mengumumkan peningkatan tertinggi bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya, yang akan memanfaatkan sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan