EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025 Sasar Pertumbuhan Ekonomi, Tingkatkan Taraf Hidup - Penganalisis

21/10/2024 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Langkah yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan membentuk semula ekonomi dengan merangsang pertumbuhan dan menarik pelaburan berkualiti, menurut penganalisis.

Semua inisiatif itu juga bertujuan mengimbangi pengukuhan fiskal, meningkatkan siling pertumbuhan ekonomi serta menaikkan lantai untuk meningkatkan taraf hidup, jelasnya.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menyifatkan langkah Belanjawan 2025 sebagai ‘neutral’ tanpa sebarang kejutan negatif yang ketara terhadap ekuiti.

“Kami tidak membuat perubahan ke atas sasaran FBM KLCI kami bagi akhir 2024 iaitu pada 1,720 berdasarkan penilaian purata.

“Kami juga mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir 2025 yang dibuat lebih awal iaitu pada 1,840, di samping berusaha memperkukuh sasaran kami ini berdasarkan laporan prestasi kewangan suku ketiga 2024 pada akhir November nanti,” menurut bank itu dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Maybank IB juga tidak membuat pelarasan terhadap saranan sekyor, mengekalkan saranan “overweight” ke atas bank, pembinaan, barang pengguna, perjudian, minyak dan gas, amanah pelaburan hartanah (REIT), tenaga boleh baharu dan perisian teknologi serta perkhidmatan pembuatan elektronik.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PIVB) menjelaskan walaupun Belanjawan 2025 dilihat positif, mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan fiskal dan perbelanjaan pembangunan yang stabil namun, kesannya terhadap pasaran mungkin tidak banyak berubah.

PIVB menambah sektor pembinaan sewajarnya memperoleh manfaat daripada pelbagai projek mega dan projek lebih kecil yang sedang dalam perancangan supaya dapat memastikan kontraktor boleh terus terlibat.

Bagaimanapun, pelaksaan projek besar -- tebatan banjir dan landasan kereta api -- akan bergantung kepada pengaturan pendanaan yang masih belum dimuktamadkan, terutamanya berkaitan perkongsian awam-swasta, tambah bank pelaburan itu.

Kenaikan yang dijangkakan bagi gaji minimum, sebahagian besarnya menjangkakan kemungkinan memberi kesan buruk kepada sektor perladangan.

“Kami mencadangkan pembelian dalam pasaran susulan penurunan. Sasaran FBM KLCI akhir tahun kami kekal pada 1,750 mata, berdasarkan pulangan purata jangka masa panjang sebanyak 16 kali pendapatan tahun kalendar 2024,” tambah PIVB dalam nota penyelidikannya.

Sebuah lagi bank pelaburan, RHB Investment Bank Bhd (RHBIB), pula menjangkakan cadangan Belanjawan 2025 secara keseluruhannya adalah neutral bagi pasaran.

Bank pelaburan itu menjelaskan prestasi Bursa Malaysia yang agak cemerlang itu menunjukkan bahawa aktiviti memperelok akaun yang rancak mungkin dilakukan memandangkan tahun ini semakin hampir berakhir.

“Tema pelaburan utama termasuk strategi defensif jangka masa pendek, kekal cekap untuk membina kedudukan ketika kelemahan pasaran secara keseluruhan, memfokuskan saham yang lembap secara taktikal dan menumpukan saham bertumpuan Johor -- ditambah dengan strategi mengutamakan keuntungan ke atas saham bermodal kecil hingga sederhana,” menurut RHBIB.

Bank pelaburan itu mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor perbankan, hartanah, M-REIT, pembinaan, teknologi, penjagaan kesihatan, bahan asas, minyak dan gas, utiliti serta produk getah.

Risiko utama bagi prospek itu termasuk perkembangan geopolitik negatif, peningkatan risiko inflasi yang boleh mendorong Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menilai semula dasar monetarinya, dan peningkatan konflik perdagangan AS-China, jelasnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan