EKONOMI > BERITA

Belanjawan: Peruntukan RM50 Juta Bantu PMKS Automasi Perniagaan Dalam Talian Lebih Efisien

21/10/2024 04:15 PM

SHAH ALAM, 21 Okt (Bernama) -- Peruntukan berjumlah RM50 juta sebagai geran padanan digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 dijangka membantu usahawan berautomasi dalam perniagaan terutama secara dalam talian dengan lebih cekap dan efisien.

Koordinator Pusat Keusahawanan Mahasiswa Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA Dr Mohamad Idham Md Razak berkata geran itu boleh dimanfaatkan oleh usahawan untuk melabur dalam platform e-dagang dan sistem pembayaran digital bagi memperluas capaian pasaran. 

“Usahawan boleh memanfaatkan teknologi pemasaran digital seperti media sosial, yang dapat meningkatkan kesedaran jenama dan jualan. Ini juga selari dengan peningkatan penggunaan peranti mudah alih dan aplikasi digital oleh pengguna

“Di samping itu, selain meningkatkan kecekapan operasi ia juga mengurangkan kos buruh dan meminimumkan kesilapan manusia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat, Jumaat lepas berhubung peruntukan sebanyak RM50 juta sebagai geran padanan digital PMKS dan Gerai Digital Penjaja di bawah BSN untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing.  

Susulan pengumuman itu, Mohamad Idham berkata pihak berkepentingan perlu menyediakan lebih banyak siri latihan dan pendidikan digital yang lebih intensif untuk usahawan PMKS berhubung penggunaan teknologi digital dalam perniagaan khususnya membabitkan kursus pemasaran digital, e-dagang, dan analitik data.

“Selain itu, perlu dibangunkan platform sokongan berterusan untuk PMKS bagi bimbingan digital, bantuan teknikal, dan rujukan kepada sumber kewangan serta geran tambahan.

“Di samping itu, kerjasama dengan kerajaan negeri dan syarikat teknologi besar juga boleh dipertimbangkan untuk memberikan akses mudah kepada perisian dan infrastruktur digital dengan kos rendah atau subsidi,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata peruntukan menerusi geran padanan digital PMKS dan Gerai Digital Penjaja pastinya memberi manfaat kepada usaha kerajaan negeri mendigitalisasi lebih 30,000 usahawan PMKS di seluruh negeri berkenaan.

“Kita yakin pengumuman itu dan hasil koordinasi dengan Kerajaan Persekutuan dapat membantu kerajaan negeri membangunkan ekosistem usahawan PMKS khususnya dalam bentuk ekonomi digital.

“Kita cuma berharap pelaksanaannya dapat diperkemas sebaik mungkin kerana geran tersebut semestinya mampu memanfaatkan lebih 30,000 usahawan yang mendaftar di bawah inisiatif PMKS kerajaan negeri,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan