EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025 Mantap, Tangani Keperluan Perkukuh Kekompleksan Ekonomi - Ahli Ekonomi

21/10/2024 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) - Kerajaan MADANI mempamerkan rangka kerja ekonomi yang mantap menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lepas, selain turut menangani keperluan untuk mengukuhkan kekompleksan ekonomi negara.

Pengarah Institut Pembangunan dan Pengurusan Inklusif Malaysia Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata berbeza dengan belanjawan sebelumnya yang memfokuskan terutamanya kepada peruntukan sektor, Belanjawan 2025 mula menangani keperluan untuk menambah baik kekompleksan ekonomi negara.

“Sebelum ini, peruntukan disediakan berdasarkan sektor dan saya tidak begitu menyokong idea untuk mengenal pasti sektor yang mana. Idea kekompleksan seharusnya terpakai kepada semua sektor.

“Sebab itu idea kekompeksan sepatutnya diterjemahkan kepada semua sektor. Tidak ada sektor yang tidak penting, termasuk pertanian,” katanya kepada pemberita selepas Perbahasan Pasca Belanjawan 2025 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) di sini, hari ini. 

Dilaporkan bahawa setakat 2024, Malaysia berada di kedudukan ke-56 dalam Indeks Kekompleksan Ekonomi (ECI) dengan skor ECI 1.12 mencerminkan kedudukannya sebagai ekonomi sederhana kompleks.

Noor Azlan berkata setiap sektor perlu diberi peluang untuk membangun dan meningkatkan kekompleksannya. 

"Anda tidak boleh mengatakan pembuatan lebih baik. Mungkin kita terlalu menumpukan pada pembuatan dan mengabaikan pertanian. Apa yang paling penting ialah memajukan kekompleksan ekonomi merentas semua sektor.

“Sebagai contoh, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) memberi tumpuan kepada kekompleksan ekonomi, tetapi ia tidak menerima perhatian yang sewajarnya,” katanya.

NIMP 2030 menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan yang pesat, holistik dan meluas untuk meletakkan Malaysia sebagai hab perindustrian yang berdaya saing dengan kekompleksan ekonomi yang tinggi.

Noor Azlan berkata, berbanding Belanjawan 2024, Belanjawan 2025 membentangkan rangka kerja ekonomi yang lebih jelas, terutamanya dari segi pembaharuan yang diperlukan negara.

“Terdapat empat hingga lima pembaharuan utama yang diketengahkan dalam Belanjawan 2025, termasuk pembaharuan struktur dan kawal selia, yang merupakan tanda positif konsisten.

“Bagaimanapun, cabaran masih kekal, seperti isu cukai. Orang ramai terus membangkitkan mengenai  Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang tidak ditolak sepenuhnya. Kita memerlukan asas cukai yang lebih meluas daripada sedikit di sana sedikit di sini,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada pelaksanaan, walaupun rancangan komprehensif telah dikeluarkan.

“Rancangan tahunan Malaysia selalunya dirangka dengan baik dan terperinci, tetapi cabarannya terletak pada pelaksanaan dan akauntabiliti.

“Walaupun kerajaan telah memperkenalkan Akta Pembaharuan Fiskal, mungkin pembaharuan penyampaian juga diperlukan. Jika kita mempunyai rancangan, kita perlu melaksanakannya, melaporkan kembali dan memastikan pemantauan berterusan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan