EKONOMI > BERITA

Kedudukan Kewangan Kukuh TNB Penting Untuk Perkhidmatannya Kepada Rakyat

22/10/2024 01:05 PM

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Bagi syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), kedudukan kewangan kukuh, disokong oleh lembaran imbangan yang sihat, hutang rendah dan aliran tunai kukuh, membolehkannya memperuntukkan modal ke arah peningkatan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan serta penambahbaikan operasi yang memberi manfaat kepada pengguna.

Ia akan memastikan bekalan tenaga elektrik yang boleh dipercayai dan cekap untuk pengguna kediaman, komersial dan industri, kata Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan.

Mohd Sedek berkata kestabilan kewangan membolehkan TNB melabur dalam memodenkan grid kuasanya, meningkatkan kecekapan sistem, dan mengurangkan gangguan sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan dan menyumbang kepada ekosistem tenaga yang lebih mampan.

Dengan kekuatan kewangan, TNB mampu menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk meneroka teknologi inovatif yang meningkatkan lagi kecekapan operasi.

“Selain itu, TNB giat mempelbagaikan sektor baharu seperti tenaga boleh baharu (TBB) dan pengecasan EV. Anjakan strategik ini bukan sahaja mengukuhkan daya tahan kewangannya dengan mewujudkan aliran pendapatan tambahan tetapi juga meletakkan syarikat untuk pertumbuhan jangka panjang mampan,” katanya.

Menurut TNB, ia menjangkakan pertumbuhan permintaan elektrik yang kukuh pada separuh pertama tahun akan dikekalkan pada separuh kedua tahun kewangan 2024 serta pada 2025 dan 2026 juga, sebahagiannya didorong oleh peningkatan permintaan tenaga daripada pusat data dalam beberapa tahun akan datang.

Setakat ini, TNB menerusi pelaburannya telah menyelesaikan penyambungan tujuh projek pusat data ke grid pada separuh pertama 2024 berjumlah kira-kira 1,070 megawatt dengan tambahan 3.2 gigawatt untuk 21 projek pusat data dalam peringkat permohonan bekalan, kata CIMB Securities.

Permintaan kukuh untuk pusat data telah menyebabkan TNB mengunjurkan pertumbuhan permintaan antara 3 hingga 4 peratus lebih tinggi bagi tahun kewangan 2024 berbanding jangkaan sebelumnya sebanyak 2.5-3 peratus.

Walaupun permintaan elektrik yang lebih tinggi diunjurkan untuk Tempoh Kawal Selia 4 (RP4 atau 2025-2027) berbanding pertumbuhan 1.7 peratus yang dilihat dalam RP3 (2022-2024), TNB dijangka meningkatkan perbelanjaan modalnya ke atas aset terkawal semasa RP4 kepada RP5 (RP2027-2029), seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), katanya dalam nota penyelidikan.

Mengenai usaha TNB berkaitan pusat data dan TBB, Mohd Sedek berkata, "Ia sejajar dengan peningkatan permintaan untuk penyelesaian tenaga yang mampan dan boleh dipercayai."

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja memacu pertumbuhan hasil tetapi juga mengukuhkan kepimpinan TNB dalam peralihan tenaga, menunjukkan komitmennya terhadap inovasi dan kemampanan, kedua-duanya memainkan peranan penting dalam meningkatkan reputasi jenamanya dan menarik pelanggan baharu.

Kedudukan kewangan yang kukuh adalah asas kepada kapasiti TNB untuk melaksanakan peningkatan infrastruktur berintensif modal yang penting untuk mengekalkan kecekapan operasi dan menjamin daya saing jangka panjang, katanya.

"Projek infrastruktur, sama ada dalam aset fizikal, sistem teknologi canggih atau pemodenan rangkaian, memerlukan modal pendahuluan yang ketara dan komitmen kewangan yang berterusan."

Skala dan kerumitan pelaburan ini bukan sahaja memerlukan mudah tunai pada kadar segera tetapi juga akses kepada pilihan pembiayaan fleksibel, kedua-duanya disokong oleh asas kewangan yang kukuh.

“Lembaran imbangan yang kukuh meningkatkan keupayaan TNB untuk mengumpul modal, memanfaatkan kelayakan kreditnya untuk mengakses pembiayaan kompetitif dalam pasaran modal.”

Penarafan kredit semasa A- terhadap TNB daripada S&P Global harus dikekalkan, penarafan itu adalah lebih baik daripada BBB+, mencerminkan kestabilan kewangannya yang diperkukuh, mengurangkan kos peminjaman dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap tawaran hutangnya.

Mohd Sedek berkata akses kepada modal kos rendah adalah penting untuk pelaburan infrastruktur berskala besar, membolehkan TNB mengurangkan risiko kewangan dari semasa ke semasa tanpa meletakkan tekanan yang tidak wajar ke atas aliran tunai operasi atau rizab mudah tunainya.

Beliau menjelaskan bahawa pengimbangan antara permintaan operasi segera dan objektif strategik membolehkan syarikat itu menyalurkan sumber ke dalam menaik taraf infrastruktur grid, menyepadukan teknologi pintar, dan meningkatkan daya tahan sistem, melakukan kesemuanya pada masa sama mengekalkan fleksibiliti kewangan.

“Pengurusan risiko adalah satu lagi kelebihan penting apabila kedudukan kewangan kukuh. Peningkatan infrastruktur, selalunya menjangkau beberapa tahun, terdedah kepada perubahan kawal selia, turun naik kos bahan dan ketidaktentuan makroekonomi,” katanya.

Kekuatan kewangan bertindak sebagai penampan terhadap ketidaktentuan tersebut, memastikan projek yang sedang berjalan tidak terjejas oleh tekanan luaran.

Kesimpulannya, kekukuhan kewangan bukan sahaja memudahkan keupayaan TNB untuk meneruskan projek infrastruktur penting tetapi juga mengukuhkan kapasitinya untuk menguruskan risiko yang wujud berkaitan dengan pelaburan tersebut.

"Dengan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh, syarikat dapat melaksanakan strategi infrastruktur jangka panjangnya tanpa menjejaskan kecairan, keuntungan atau kestabilan kewangan,” katanya.

Ia juga membawa kepada keperluan untuk kerajaan memberikan pulangan yang adil semasa Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) yang kini dalam semakan.

Pulangan pelaburan yang seimbang akan membolehkan syarikat utiliti mengekalkan dan menaik taraf infrastrukturnya, melabur dalam inisiatif TBB dan meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan secara keseluruhan.

Dengan memupuk persekitaran kewangan yang stabil, kerajaan akan memperkasakan TNB untuk melaksanakan komitmennya, memastikan masa depan tenaga yang mampan untuk semua rakyat Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan