EKONOMI > BERITA

Leader Energy, Plus Xnergy Akan Guna Sistem Bateri Sodium-Sulur Pertama Malaysia

09/10/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Leader Energy Group Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Leader Solar Energy II Sdn Bhd (LSE II) dengan perkongsian bersama Plus Xnergy Services Sdn Bhd, akan menggunakan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) sodium sulfur (NaS) pertama di Malaysia.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Plus Xnergy akan memasang dan mentauliahkan BESS berkapasiti 1.45 megawatt-jam (MWj) di ladang solar (LSS) berskala besar LSE II yang terletak di Bukit Selambau, Kedah.

Pemasangan sistem BESS NaS yang mesra alam sekitar itu akan dimulakan menjelang pertengahan Oktober 2024, dengan jangkaan selesai pada akhir tahun. 

"Projek inovatif ini akan meningkatkan kecekapan serta kebolehpercayaan operasi tenaga suria kami di LSE II, selain menonjolkan potensi BESS NaS yang lebih luas untuk pengukuhan grid serta kestabilan tenaga," kata Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama Leader Energy (CEO), Datuk Sean H'ng.

CEO Kumpulan Plus Xnergy, Ko Chuan Zhen berkata sistem penyimpanan dan pelepasan tenaga ini mampu mengurangkan pelepasan sebanyak 126.5 tan setara karbon dioksida (tCO2e) setahun, ini akan menyumbang kepada sasaran kelestarian negara. 

Projek itu akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga boleh baharu yang stabil, terutamanya dengan Malaysia muncul sebagai hab pusat data dan awan serantau.

BESS NaS mengurangkan gangguan dengan membolehkan lebihan tenaga daripada ladang LSS disimpan dengan selamat serta boleh dipercayai, dan dilepaskan serta-merta sebagai respons kepada turun naik untuk pengeluaran tenaga yang stabil dan tidak terganggu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan