EKONOMI > BERITA

Prudential Assurance, UNIMAS Anjur Bersama Konvensyen Kewangan Siswazah Sarawak

24/10/2024 10:54 AM

KUCHING, 23 Okt (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menganjurkan Konvensyen Kewangan Siswazah Sarawak baru-baru ini untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan siswazah.

PAMB dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata konvensyen itu juga diadakan bagi memberi kesan positif kepada kehidupan mereka.

“Konvensyen bertajuk ‘Beyond Wealth: Empowering Success and Shaping the Future’ menyaksikan 1,000 pelajar dari 15 institusi pengajian tinggi Sarawak di UNIMAS, Kota Samarahan, mempelajari strategi pengurusan kewangan yang berkesan.

“Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Negeri Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn untuk merasmikan majlis itu,” katanya.

Sagah dalam ucapannya yang dibacakan oleh Annuar pada konvensyen itu berkata cabaran yang dihadapi golongan muda perlu ditangani dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan alat untuk berjaya serta mencapai visi untuk Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Konvensyen itu adalah satu langkah penting ke arah memperkasakan siswazah kami dengan celik kewangan mereka perlukan untuk berkembang maju dalam dunia yang pesat berubah pada ketika ini.

“Saya gembira kerana Prudential dan UNIMAS bekerjasama untuk membantu menyediakan mereka untuk masa depan mereka dan memastikan pertumbuhan serta kemakmuran berterusan negeri Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Risiko PAMB Kamarul Hisham berkata sejak 2018, syarikat itu telah membantu hampir 29,000 kanak-kanak dan belia Sarawak mempelajari cara mengurus wang menerusi program pendidikan kewangan.

“Dengan kehadiran dan komitmen selama 100 tahun untuk membina daya tahan kewangan di Malaysia, Prudential Assurance berdedikasi untuk memperkasa kedudukan kewangan belia Sarawak terutamanya potensi terpendam mereka.

“Bersama dengan UNIMAS, kami mahu memberi impak positif kepada kehidupan dan komuniti rakyat di Sarawak dan membantu siswazah membentuk masa depan mereka seiring dengan pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan,” katanya.

Naib Canselor UNIMAS Prof Dr Ahmad Hata Rasit pula berkata kerjasama dengan Prudential Assurance untuk menganjurkan konvensyen itu mencerminkan komitmen UNIMAS untuk menyediakan pendidikan holistik yang melangkaui kecemerlangan akademik dan menyediakan pelajar untuk semua aspek kehidupan.

"Dengan melengkapkan siswazah dengan kemahiran kewangan penting dan memberi penerangan mengenai dunia sebenar, kami memperkasakan mereka untuk menghadapi dengan yakin kerumitan ekonomi moden supaya mereka bersedia untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan ekonomi yang lebih luas," katanya.

Persidangan itu disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Acara itu menampilkan gerai interaktif mengenai celik kewangan dan penyelesaian insurans mikro PRUKasih Aman serta sesi perbincangan panel mengenai strategi pengurusan kewangan yang berkesan dan kemahiran praktikal mengenai pelbagai topik kewangan.

Selain itu, penuntut turut mengambil bahagian dalam memenangi hadiah dalam pertandingan Cabaran Wang Prudence.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan