EKONOMI > BERITA

AME Development Diiktiraf Sebagai Pemaju Terbaik Di Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia 2024

26/10/2024 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- AME Development Sdn Bhd diiktiraf sebagai Pemaju Terbaik pada majlis Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia 2024 ke-19 pada Jumaat.

Menurut kenyataan PropertyGuru Group, syarikat pembinaan itu juga meraih anugerah berprestij sebagai Pemaju Perindustrian Terbaik dan Pemaju Lestari Terbaik.

Malton Bhd diiktiraf sebagai Pemaju Terbaik (Malaysia Tengah) untuk projek Bukit Jalil City dan The Park 2 Pavilion Bukit Jalil, manakala Berinda Group sebagai Pemaju Terbaik (Malaysia Selatan), disokong oleh projeknya yang memenangi anugerah, Ponderosa Callista.

GSH Corporation Ltd meraih anugerah Pemaju Mewah Terbaik manakala Astaka Padu Sdn Bhd diberi penghormatan sebagai Pemaju Gaya Hidup Terbaik.

“Matrix Concepts Holdings Bhd memenangi anugerah Pemaju Komuniti Terbaik sementara Iskandar Investment Bhd memenangi gelaran Juara Rendah Karbon. Tanah Sutera Development Sdn Bhd dan Iskandar Investment berkongsi anugerah Juara Impak Sosial.

“Sime Darby Property Bhd menerima pengiktirafan Pembangunan Bertanah Terbaik (Malaysia) untuk projeknya yang memenangi anugerah, The Residences III at The Glades,” jelas PropertyGuru Group.

Pengurus Negara PropertyGuru Group bagi Malaysia Kenneth Soh berkata hampir 82 peratus penduduk Malaysia akan tinggal di kawasan bandar menjelang 2030, mengatasi kadar pembandaran di negara seperti Thailand dan Indonesia.

Beliau berkata Malaysia berada pada persimpangan yang menarik, apabila negara ini perlu mengimbangi peluang dan cabaran yang dibawa oleh pembandaran, di samping peningkatan permintaan untuk pemilikan rumah.

“Sebagai organisasi teknologi hartanah terkemuka di rantau ini dan Malaysia, peranan kami adalah merapatkan jurang antara harapan pembeli, saranan ejen dan tawaran pemaju menerusi data dan penyelesaian teknologi hartanah yang berkaitan untuk memupuk ekosistem hartanah yang lebih seimbang dan mampan.

“Bagi 2025, kami boleh menjangkakan permintaan berterusan untuk reka bentuk yang mampan, bertumpuan komuniti, perumahan mampu milik, dan pembangunan alternatif di luar pusat bandar,” katanya ketika berucap di majlis Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia 2024 di sini malam tadi.

Sementara itu, Quayside JBCC oleh Bangsar Heights Pavilion dinamakan sebagai Pembangunan Reka Bentuk Terbaik (Malaysia), manakala Horizon Hills oleh Horizon Hills Development Sdn Bhd menerima anugerah Pembangunan Perbandaran Terbaik (Malaysia) dan The MET Corporate Towers oleh Triterra Sdn Bhd memenangi anugerah Pembangunan Komersial Terbaik (Malaysia).

Selain itu, rakyat Malaysia juga memilih 10 syarikat terbaik negara menerusi People’s Choice Awards.

10 syarikat itu ialah Armani Group, Gunung Impian Development Sdn Bhd, Mah Sing Group Bhd, Malton, Matrix Concepts, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Sime Darby Property, Teladan Group Bhd, Tropicana Corporation Bhd, dan UDA Holdings Bhd.

Majlis tahun ini mengetengahkan syarikat cemerlang dalam 58 kategori, menunjukkan kecemerlangan dalam pemajuan, reka bentuk serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pemenang mungkin layak untuk bersaing bagi anugerah Terbaik di Asia di finale utama Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia ke-19 pada 13 Dis, 2024 di Bangkok, Thailand.

Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia dengan kerjasama iProperty adalah sebahagian daripada siri Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia serantau, dengan tahun ini menandakan penganjuran ke-19.

Siri ini merangkumi pasaran utama di seluruh rantau ini, merangkumi Asia Tenggara, Asia Timur, Asia Selatan dan Oceania.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan