EKONOMI > BERITA

Ukraine Anggap Malaysia Pintu Masuk ASEAN Bagi Kerjasama UAV

02/11/2024 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Ukraine menganggap Malaysia sebagai pintu masuk bagi memperluas kerjasama dalam segmen pesawat kawalan jauh (UAV) dan dron di rantau ASEAN, kata Timbalan Menteri Ekonomi Ukraine Taras Kachka.

Sambil mengakui kekuatan ekonomi digital Malaysia, beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai negara paling maju di ASEAN dari segi prasarana dan semikonduktor bekalan alat ganti serta tenaga kerja mahir.

Sehubungan itu, perbincangan dan rundingan berkaitan potensi kerjasama sedang diusahakan oleh kedua-dua negara.

“Kemajuan UAV di Ukraine lazimnya berkaitan dengan pertahanan dan keselamatan walaupun penggunaan teknologi itu juga penting bagi kepentingan awam seperti pertanian.

“Kini, penggunaan UAV di Ukraine amat ketara sehinggakan menarik semua sumber jurutera...inilah sebabnya pengetahuan yang dibangunkan di Ukraine turut digunakan di Malaysia.

“Atas alasan ini juga, kita akan menyokong kerjasama dalam bidang ini kerana memerlukan rantaian bekalan alat ganti yang kukuh, selain pembangunan jurutera yang mungkin bermanfaat untuk tujuan memodenkan produk," katanya dalam sidang media di sini hari ini pada hari terakhir lawatan kerja ke Malaysia yang bermula pada 31 Okt, 2024.

Sementara itu, Kuasa Usaha Interima Kedutaan Ukraine di Malaysia Denys MykhailiukAd berkata syarikat-syarikat di Malaysia menunjukkan minat besar terhadap UAV, terutama dalam pengawasan sempadan seperti kawasan hutan yang sukar dikawal dan memerlukan rondaan menggunakan tenaga pekerja.

“Kita bukan merujuk dron bagi tujuan serangan yang digunakan dalam ketenteraan, tetapi lebih kepada yang melakukan pengawasan. Kita lebih maju dalam bidang ini dan apa yang saya tahu, terdapat perbincangan antara syarikat-syarikat,” katanya.

Semalam, Kachka telah mempengerusikan bersama mesyuarat pertama Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) Malaysia-Ukraine dengan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong yang menyentuh sektor-sektor utama seperti pertanian, aeroangkasa, minyak sawit mampan, peranti perubatan dan pelancongan.

Mesyuarat itu juga membentuk asas kukuh untuk mengembangkan perkongsian ekonomi yang berlatarbelakangkan cabaran geopolitik.

Sementara itu, Mykhailiuk berkata Ukraine berhasrat membuka dua lagi hab halal di negara itu menerusi bantuan Malaysia.

Pada masa ini, Ukraine mempunyai sebuah hab halal yang diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata perbincangan juga telah dibuat dengan Malaysia dan mencapai persefahaman bahawa sijil halal di Ukraine akan diktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Ukraine mengeksport produk ke pasaran tradisional seperti Afrika Utara dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk yang memerlukan pensijilan halal.

"Ini amat penting kerana setiap produk Ukraine dengan perakuan halal JAKIM dan negara ini akan turut menjadi satu pemasaran langsung untuk Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan