KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) – Maxis Bhd berhasrat menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memahami rasional keputusan berkaitan pengendali rangkaian 5G kedua negara yang diumumkan baru-baru ini.
Dalam kenyataannya hari ini, syarikat telekomunikasi itu berkata ia mengambil maklum mengenai keputusan berkaitan usaha membina dan mengendalikan rangkaian yang juga komponen kritikal dalam infrastruktur komunikasi serta pelan pembangunan Malaysia.
“Kami akan melakukan libat urus dengan MCMC bagi memahami rasional keputusan itu dan mempertimbang pilihan-pilihan kami selepas perbincangan dengan semua pemegang taruh,” katanya.
MCMC baru-baru ini mengumumkan keputusan pemilihan U Mobile Sdn Bhd bagi melaksanakan rangkaian 5G kedua di negara ini selepas melakukan penilaian teknikal dan komersial yang terperinci.
Mengulas selanjutnya, Maxis berkata sebagai sebuah syarikat serta diterajui anak tempatan dan dimiliki rakyat Malaysia dengan kepentingan sebanyak 77 peratus, ia sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara ini.
“Kami komited sepenuhnya terhadap pembangunan jangka panjang Malaysia dan memastikan seluruh negara berkongsi manfaat 5G dan ekonomi digital," katanya.
Menurutnya, sebagai penyokong kuat bagi model dwirangkaian 5G, Maxis telah mengemukakan cadangan teknikal dan komersial yang komprehensif sebagai tindak balas kepada pelawaan MCMC untuk tender rangkaian 5G kedua.
“Menerusi infrastruktur rangkaian kukuh dan kepakaran Maxis, cadangan pelaksanaan rangkaian 5G kami dijangka mengambil masa dan sumber yang jauh lebih sedikit untuk meliputi peratusan liputan kawasan berpenduduk yang menyamai rangkaian 5G pertama. Liputan 5G dalam bangunan turut disediakan di kawasan berkenaan," katanya.
Maxis turut memberi jaminan kepada pelanggan bahawa mereka akan terus menikmati perkhidmatan 5G melalui perjanjian akses sedia ada syarikat itu dengan Digital Nasional Bhd walaupun pihaknya terus meneroka pilihan 5G dan libat urus dengan semua pihak berkepentingan.
“Kami kekal teguh dalam komitmen menyediakan nilai dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan rakyat Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial