Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Ringgit diniagakan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutup urus niaga Isnin menjelang jangkaan pengurangan kadar faedah utama negara maju itu di tengah-tengah ketidaktentuan membabitkan pemilihan presiden AS esok, kata ahli ekonomi.
Pada 6 petang ini, ringgit meningkat ke paras 4.3715/3765 berbanding dolar AS daripada 4.3780/3835 pada akhir urus niaga Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengumuman data gaji bukan perladangan AS pada Jumaat lepas yang lebih rendah daripada dijangkakan, selain Indeks Institute for Supply Management (ISM) memaparkan sektor pembuatan yang lemah, juga membuktikan pasaran tenaga kerja AS yang kurang memberangsangkan.
Beliau berkata keadaan itu hanya mengukuhkan lagi alasan untuk Rizab Persekutuan AS (Fed) bertindak melonggarkan dasar monetari ketika kos pinjaman yang lebih rendah dilihat sebagai pemacu dalam menggalakkan perbelanjaan dan pelaburan.
Bank pusat AS itu juga diunjur menurunkan kadar faedah utama sebanyak 25 mata asas pada Khamis.
“Semua memberi tumpuan terhadap pilihan raya presiden AS pada Selasa. Jika Donald Trump berjaya menggalas semula jawatan presiden, ini hanya menyaksikan pelaksanaan lebih banyak tarif, pengurangan cukai serta pengusiran pendatang asing.
“Keadaan itu akan memberi kesan kepada inflasi yang akan menyaksikan Fed meneliti semula dasar pelonggaran monetarinya di masa akan datang,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, ringgit juga menyusut berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ini termasuk rendah berbanding pound Britain kepada 5.6707/6772 daripada 5.6502/6573, susut berbanding yen Jepun kepada 2.8775/8810 daripada 2.8652/8690 dan turun berbanding euro kepada 4.7636/7691 daripada 4.7532/7592.
Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN, termasuk meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 277.5/277.9 daripada 278.2/278.7 namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3185/3226 daripada 3.3054/3098.
Unit tempatan itu rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9664/9882 daripada 12.9103/9322 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.49/7.50 daripada 7.49/7.51.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial