EKONOMI > BERITA

Kuala Lumpur Catat Nilai Eksport RM49.54 Bilion Bagi Tempoh Sembilan Bulan Pertama 2024 - MATRADE

06/11/2024 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kuala Lumpur memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan mencatatkan nilai eksport sebanyak RM49.54 bilion, meningkat 4.9 peratus bagi sembilan bulan pertama 2024 berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). 

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pertumbuhan positif itu dipacu oleh sektor utama termasuk keluaran petroleum bertapis, litar elektronik bersepadu dan kelengkapan telekomunikasi, alat ganti dan aksesori.

Katanya Kuala Lumpur merupakan antara destinasi yang penting dalam sektor eksport negara memandangkan ketersambungan eksport wilayah tersebut ke negara rakan dagangan utama seperti China, Amerika Syarikat, Indonesia dan Singapura pada tahun lepas. 

“Kepentingan Kuala Lumpur juga dinilai dari aspek pertumbuhan ekonomi yang tumbuh dengan kadar 3.7 peratus pada 2023 berbanding 9.4 peratus pada tahun sebelumnya, dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM249.3 bilion. 

“Kuala Lumpur juga merupakan antara empat negeri yang mencatatkan pertumbuhan melebihi pertumbuhan nasional (3.6 peratus) pada 2023,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Eksport Kuala Lumpur 2024 di sini hari ini. 

Beliau berkata Kuala Lumpur mencatatkan nilai perdagangan berjumlah RM157.87 bilion, naik 3.6 peratus pada 2023 berbanding tahun sebelumnya manakala jumlah eksport sebanyak RM66.24 bilion, meningkat sebanyak 0.6 peratus. 

Katanya penganjuran Hari Eksport Kuala Lumpur 2024 adalah sejajar dengan prestasi Kuala Lumpur yang sebagai negeri keempat tertinggi dari segi nilai perdagangan pada 2023 selepas Pulau Pinang, Selangor dan Johor.  

Selain itu, katanya pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah Hari Eksport kali ini juga berdasarkan jumlah syarikat pengeksport yang berdaftar dalam Pangkalan Data Pengeksport MATRADE (MER).

Sehingga 31 Okt 2024, terdapat 2,654 syarikat dari Kuala Lumpur, mewakili 18.4 peratus daripada 14,464 syarikat pengeksport dalam MER,” katanya. 

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 2,454 atau 92.5 peratus adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Saya yakin masih terdapat syarikat di Kuala Lumpur yang berpotensi untuk menceburi bidang eksport dan saya mengalu-alukan lebih banyak syarikat berdaftar dengan MATRADE,” katanya. 

Katanya sehingga Oktober 2024, sebanyak 444 syarikat Kuala Lumpur atau 22.9 peratus daripada 1,940 syarikat, telah mengambil bahagian dalam 47 program promosi eksport yang dianjurkan MATRADE, dengan pencapaian jualan sebanyak RM6.53 bilion atau 39.8 peratus daripada jualan keseluruhan berjumlah RM16.42 bilion. 

Selain itu, katanya sebanyak 542 syarikat telah memanfaatkan program pembangunan pengeksport dengan geran berjumlah RM11.93 juta yang telah menjana jualan eksport sebanyak RM1.55 bilion.

“MATRADE, sebagai agensi utama promosi perdagangan negara, akan terus melaksanakan transformasi radikal dalam promosi perdagangan termasuk penjenamaan semula, pendigitalan dan kelestarian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan MyTRADE DIGITAL, platform digital interaktif yang menyokong pendigitalan perdagangan dan membantu pertumbuhan eksport Malaysia, dijangka bermula pada 2025. 

Syarikat pengeksport akan dapat berinteraksi secara maya dengan komuniti perniagaan antarabangsa dan ini sekali gus akan membuka peluang kepada syarikat untuk meluaskan pasaran global melalui transaksi jualan dalam talian bagi segmen perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pengguna (B2C). 

Program itu yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini bertujuan memperkasakan lebih banyak syarikat di Kuala Lumpur menjadi pengeksport dengan menyediakan pelbagai program khusus serta fasilitasi eksport bagi membantu syarikat, terutamanya PMKS untuk mendalami selok-belok mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa.

Peserta turut didedahkan dengan ketersediaan eksport dalam pengisian menarik yang dikongsikan seperti penetapan harga dan kontrak eksport, manfaat pasaran perjanjian perdagangan bebas dan dokumen eksport, asas penyelidikan pasaran serta peluang pasaran antarabangsa. 

Acara ini merupakan siri terakhir bagi program Hari Eksport tahun 2024, selepas kejayaan penganjurannya di Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor yang telah dihadiri lebih 1,000 peserta.

Hari Eksport akan diteruskan pada tahun depan di negeri lain yang akan diumumkan kelak.

Antara rakan strategik Hari Eksport Kuala Lumpur 2024 ialah Affin Bank Berhad, Alibaba.com., Exim Bank Malaysia, FedEx Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan S&P Global Market Intelligence. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan