EKONOMI > BERITA

KPK Sasar Eksport Perabot Kayu Capai RM14 Bilion

01/03/2025 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan untuk mencapai RM14 bilion dalam eksport perabot kayu yang menyumbang 50 peratus daripada sasaran RM28 bilion eksport kayu Malaysia sepanjang tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin menyatakan keyakinan itu sambil menegaskan eksport perabot kayu Malaysia mencatatkan jumlah RM9.9 bilion pada tahun lepas.

"Itulah sebabnya Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) sangat penting dalam menyediakan platform untuk peluang perniagaan selain memastikan setiap peserta mendapat manfaat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan MIFF di sini hari ini.

Malaysia sedang berusaha mencapai sasaran eksport kayu sebanyak RM28 bilion yang ditetapkan di bawah Dasar Agromakanan Negara 2030.

Pada 2024, eksport produk kayu Malaysia mencapai RM22.9 bilion manakala eksport perabot kayu berjumlah RM9.9 bilion dengan peningkatan sebanyak 8.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Industri kayu kekal sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada eksport komoditi negara.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas MIFF, Datuk Tan Chin Huat berkata pameran tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya peningkatan lima peratus dalam jualan di tapak pameran berbanding US$1.28 bilion tahun lepas. (US$1 = RM4.46).

“Melihat kepada sambutan pagi ini, saya cukup optimis. Saya melihat banyak muka baharu. Nampaknya orang ramai kembali untuk membeli… MIFF bukan sahaja pameran perdagangan; kami melakukan banyak usaha, bekerjasama dengan industri.

“Kami juga menganjurkan dan menaja pelbagai aktiviti seperti pertandingan reka bentuk untuk memupuk pereka muda dari Malaysia,” katanya.

Tan berkata pihaknya juga mempamerkan konsep-konsep reka bentuk di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurutnya, pihaknya juga berusaha ke arah kelestarian alam sekitar.

Tan berkata ciri utama kelestarian yang terdapat di MIFF 2025 iaitu teknologi Palm Loop dari Panasonic Housing Solutions Jepun yang membolehkan pengeluar perabot menghasilkan bahan berkualiti tinggi daripada batang kelapa sawit.

Pengeluar utama yang mengguna pakai penyelesaian lestari ini termasuk Shantawood, Panelbase System Industries, Synergy Wood Products, Distinctive Fine Furniture, Estay Furniture, SLK Furniture Design, Sincerity Furniture dan Yeu Hong Furniture Industries.

MIFF 2025 mempamerkan reka bentuk terkini, inovasi dan kelestarian dengan melibatkan 742 pengeluar dari 12 negara dan wilayah.

Pameran ini dijangka menarik 20,000 pengunjung dari lebih 140 negara.

Mencapai keluasan 100,000 meter persegi merentasi MITEC dan WTCKL, MIFF menjadi tuan rumah kepada pemain industri utama dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Hong Kong, Jepun, China, Korea Selatan, Taiwan, India, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan