EKONOMI > BERITA

Dasar Ekonomi MADANI Dapat Pacu Ekonomi Global - Anwar

11/11/2024 12:51 PM

KAHERAH, 11 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dasar Ekonomi MADANI yang jelas di bawah pentadbirannya berupaya untuk terus memacu ekonomi Malaysia di peringkat ASEAN dan global.

Anwar berkata petunjuk ekonomi Malaysia yang memberangsangkan, selain diiktiraf sebagai hab utama sektor semikonduktor dan tenaga hijau di rantau Asia Tenggara adalah petunjuk positif keupayaan Malaysia dalam melaksanakan peranan bagi ekonomi di peringkat global.

“Sebelum berlepas ke Riyadh, Arab Saudi, saya dan delegasi menghadiri sesi meja bulat bersama kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Mesir serta delegasi perniagaan Malaysia.

“Sesi ini turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Republik Arab Mesir, Hassan El Khatib dan dimanfaatkan sebaiknya untuk berinteraksi serta memberi keyakinan kepada mereka terkait peluang pelaburan di Malaysia selain penerokaan usaha sama perniagaan dan perdagangan dengan syarikat di negara kita,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas selepas menghadiri sesi meja bulat bersama pemimpin industri dan perniagaan, di sini semalam.

Beliau berkata beberapa peluang dalam industri sawit, automotif, farmaseutikal dan produk perubatan, semikonduktor, sektor digital serta tenaga boleh baharu telah dibincangkan bersama kalangan pemimpin industri dan perniagaan Mesir semasa sesi yang produktif itu.

Sementara itu, ketika berucap dalam sesi tersebut, Anwar berkata antara fokus Malaysia apabila mengambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan ialah meningkatkan lagi aktiviti ekonomi dan perdagangan antara negara anggota ASEAN.

Malaysia, sebagai antara negara peserta dan pengeluar utama dalam sektor tenaga hijau, akan memanfaatkan kelebihan itu dalam usaha merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan perdagangan “intra-ASEAN”, kata beliau.

Anwar berkata sebagai pengerusi ASEAN, tumpuan lain adalah bagi merancakkan lagi pengembangan digitalisasi dalam kalangan negara ASEAN.

Turut hadir dalam sesi meja bulat itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan