KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd mengunjurkan Westports Holdings Bhd mencatat pertumbuhan jumlah kendalian lebih kukuh bagi tahun depan, didorong oleh pemulihan volum pemunggahan kargo perkapalan yang berterusan.
Pertumbuhan satu angka kumpulan dalam jumlah kendalian pada 2025 akan dipacu oleh pemulihan pemunggahan kargo ketika kesesakan dan jumlah volum kembali normal susulan penamatan secara berfasa volum kendalian syarikat perkhidmatan berpangkalan di Israel, ZIM Integrated Shipping Services Ltd pada 2024, katanya.
“Kami menjangkakan jumlah kendalian kargo berterusan yang lebih sihat, disumbangkan oleh prospek ekonomi dan prestasi perdagangan yang kukuh,” katanya dalam nota penyelidikan.
CIMB Securities berkata kumpulan berkenaan juga memaparkan potensi peningkatan permintaan kargo ketika pengimport berusaha membawa masuk barangan menjelang kemugkinan pelaksanaan tarif baharu susulan keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang dapat menyuntik sokongan jangka pendek terhadap kendalian Westports.
Terdahulu, Westports Holdings mengumumkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM233.07 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024, berbanding RM195.0 juta setahun lepas manakala perolehan hasil bagi suku berkenaan meningkat kepada RM572.57 juta berbanding RM542.31 juta sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih Westports naik kepada RM641.33 juta daripada RM573.35 juta bagi tempoh sama tahun lepas manakala perolehan menokok kepada RM1.67 bilion daaripada RM1.60 bilion.
Pertumbuhan itu didorong oleh jumlah kendalian kontena lebih tinggi sebanyak 8.11 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU).
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata terminal Westports terus menyaksikan kesesakan ruang pemunggahan kontena pada suku ketiga 2024 bermula pada akhir Mac lepas berikutan impak kesesakan bagi ruang itu di Singapura.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian daripada pemunggahan kargo di Singapura disalurkan ke Westports.
“Pengurusan turut mengetengahkan usaha bagi mengurangkan kesesakan berkenaan dan lebih memilih dalam peruntukan ke arah kemasukan kontena.
“Volum pemunggahan kargo dalam sembilan bulan pertama 2024 menguncup sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun, dijejaskan oleh kesesakan ruang pemunggahan serta kerugian daripada kontena ZIM,” katanya.
Bagaimanapun, HLIB berkata volum berkenaan terus memaparkan pertumbuhan mantap dengan angka bagi sembilan bulan pertama 2024 naik sebanyak 10.3 peratus, didorong oleh import lebih kukuh susulan peningkatan ekonomi dan aliran pelaburan langsung yang memberangsangkan.
Selain itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd menyasarkan volum kontena Wesports tidak berubah pada 2024 susulan kesesakan dan keadaan pasaran yang suram telah menjejaskan momentum pertumbuhan.
Keadaan itu, katanya, seiring dengan unjuran pertumbuhan 1.2 peratus tahun ke tahun.
“Ini mendorong kepada pertumbuhan satu angka pada 2025, dipacu oleh jumlah volum kemasukan serta pemulihan pemunggahan kargo yang ditafsirkan kepada pertumbuhan 3.3 peratus.
"Jumlah kontena berkemungkinan menyaksikan peningkatan sementara jika penghantaran dalam jangkaan tarif perdagangan susulan peralihan pemerintahan Donald Trump meskipun impaknya akan bergantung kepada skop tarif yang dikenakan," katanya.
Bank itu juga menyifatkan strategi "China+1" sebagai pemacu utama pertumbuhan volum kemasukan kontena, terutama melibatkan industri kertas, kaca serta solar.
Dalam pada itu, CIMB Securities dan HLIB mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) masing-masing RM5.30 dan RM5.00 manakala MIDF mengekalkan "neutral" dengan TP tidak berubah sebanyak RM4.30.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial