EKONOMI > BERITA

Tawaran Penstrukturan Semula Kepentingan MAHB Pada RM11 Sesaham Tawar Keuntungan Segera Kepada Pelabur - CIMB

18/11/2024 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Tawaran penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada RM11 sesaham memberikan peluang kepada pelabur untuk merealisasikan keuntungan segera, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

Katanya pelabur juga boleh mendapat manfaat daripada sumber dan visi pemberi tawaran bersama untuk pertumbuhan mampan, menjadikan cadangan itu menarik.

“Bagaimanapun, cabaran kesalinghubungan jarak jauh Malaysia dan pelaburan modal yang diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur dijangka mewujudkan risiko kepada pertumbuhan organik MAHB,” kata firma itu dalam laporan hari ini.  

Oleh itu, CIMB Securities mencadangkan pelabur menerima tawaran tersebut.  

Pada Jumaat lepas, Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA)—yang dirujuk secara kolektif sebagai pemberi tawaran bersama—secara rasmi melancarkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk semua baki saham dalam MAHB pada RM11 sesaham, dengan nilai ekuiti sebanyak RM18.4 bilion.  

“Tawaran itu bersyarat apabila mencapai 90 peratus penerimaan pemegang saham. Pemberi tawaran bersama secara kolektif memegang 41.2 peratus kepentingan dalam MAHB.  

“Jika pengambilalihan itu berjaya, ahli konsortium Malaysia secara kolektif akan memiliki 70 peratus daripada MAHB,” katanya.  

Menurut laporan itu, harga tawaran RM11 sesaham mewakili premium 49.5 peratus kepada harga penutup terakhir pada akhir Disember 2023 dan premium 10.4 peratus kepada harga penutup pada 14 Mei 2024, hari dagangan terakhir sebelum tawaran pra-syarat diumumkan.

Berdasarkan tawaran itu, CIMB Securities menyemak semula harga sasaran MAHB kepada RM11 daripada RM10.30. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan