EKONOMI > BERITA

SDT Inc Kerjasama Dengan MIMOS Tubuh Pusat Pengkomputeran Kuantum Pertama Malaysia

13/11/2024 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- SDT Inc yang beribu pejabat di Seoul, Korea Selatan menjalinkan kerjasama dengan anak syarikat Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) MIMOS Technology Solutions Sdn Bhd untuk menubuhkan Pusat Pengkomputeran Kuantum yang pertama seumpamanya di Malaysia.

SDT dalam satu kenyataan memaklumkan dengan rekod prestasi yang baik dalam teknologi kuantum, SDT Inc ialah nama yang dipercayai dalam industri.

“Selama bertahun-tahun, SDT telah menyediakan perkhidmatan dan rangka kerja awan pengkomputeran kuantum di Korea Selatan sekali gus menyumbang kepada ekosistem teknologi negara.

"SDT Inc memiliki harta intelek yang unik dan kepakaran pembuatan dalam elektronik ultra-precision, membolehkannya membangunkan penyelesaian pengkomputeran kuantum termaju yang terkenal dengan prestasi dan boleh dipercayai," menurut kenyataan itu. 

Selain itu, SDT Inc mempunyai keupayaan terkini dalam komunikasi kuantum, memastikan sambungan selamat dan cekap antara pusat pengkomputeran kuantum dan kawasan penting yang lain.

“Kekuatan ini menjadikan SDT rakan kongsi ideal untuk Malaysia ketika negara sedang mengorak langkah untuk menempatkan kehadirannya yang berdaya saing dalam bidang kuantum,” menurut kenyataan itu.

Dengan penubuhan pusat itu, menurut pakar perlunya penyelarasan dari segi strategi nasional dan pengawasan khusus untuk merealisasikan sepenuhnya potensi transformatif teknologi. 

Pendekatan kerjasama melibatkan agensi utama termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Malaysian Quantum Initiative (MyQI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pertahanan memainkan peranan penting untuk memastikan kejayaan integrasi pengkomputeran kuantum dalam industri seperti keselamatan siber, penjagaan kesihatan dan kewangan sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju teknologi serantau.

MIMOS agensi di bawah MOSTI berada di barisan hadapan dalam inisiatif ini, memacu inovasi sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara.

Anak syarikatnya MIMOS Technology Solutions Sdn Bhd (MTSSB) pula memainkan peranan penting dalam menjamin projek industri yang memanfaatkan teknologi termaju MIMOS.

“Dengan kerjasama SDT Inc, MTSSB akan membantu membina asas kukuh untuk aspirasi kuantum Malaysia, menghubungkan kepakaran MIMOS dengan industri bagi menjadikan Malaysia sebagai negara berkemampuan kuantum, bersedia untuk pertumbuhan masa depan dan kepimpinan teknologi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan