EKONOMI > BERITA

AirAsia Tawar Penerbangan Terus Ke Andaman And Nicobar Islands Mulai 15 Nov

17/11/2024 04:19 PM

Daripada Siti Aisyah Harun

SRI VIJAYA PURAM (India), 17 Nov (Bernama) -- AirAsia menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama menawarkan penerbangan terus ke Andaman and Nicobar Islands, dengan tambang berpatutan bermula 15 Nov, 2024.

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata laluan baharu dari Kuala Lumpur itu menandakan usaha berterusan pihaknya untuk terus memperkukuh kehadiran di India. 

“Ini adalah pencapaian penting dalam usaha berterusan kami memperkukuh kehadiran di India, antara pasaran terbesar dan paling berkembang bagi AirAsia. 

“Visi dan misi kami adalah terus meningkatkan kesalinghubungan dengan tambang berpatutan di seluruh Asia,” katanya pada majlis perasmian penerbangan pertama AirAsia ke Andaman and Nicobar Islands di sini, pada Sabtu.

Andaman and Nicobar Islands ialah wilayah kesatuan India yang terletak di Lautan Hindi, di kawasan selatan Teluk Benggala. Kepulauan ini berada di antara Teluk Benggala dan Lautan Andaman.

Fareh berkata laluan baharu AirAsia itu juga menyokong sasaran kerajaan India bagi menarik lebih 10 juta pelancong antarabangsa menjelang akhir tahun ini.

Penerbangan sulung AirAsia dari Kuala Lumpur mendarat pada kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Veer Savarkar di sini dahulunya dikenali Port Blair iaitu ibu kota Andaman and Nicobar Islands.

AirAsia menawarkan lebih 1,000 tempat duduk dengan kekerapan enam penerbangan pergi-balik setiap minggu iaitu pada Selasa, Khamis dan Sabtu bagi memudahkan perjalanan pelancong kedua-dua negara.

Menurut AirAsia, laluan baharu itu menunjukkan komitmen pihaknya untuk menawarkan perkhidmatan kepada pasaran belum diteroka seterusnya memperkukuh kesalinghubungan serantau bagi memenuhi permintaan peningkatan perjalanan ke destinasi baharu seperti Sri Vijaya Puram.

Susulan perasmian laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang promosi RM199 sehala bermula 15 Nov.

Andaman and Nicobar Islands terkenal dengan keindahan pantai dan kehidupan marin, menjadikannya antara destinasi utama pencinta alam semula jadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan