KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman seorang pemilik syarikat disyaki bersubahat dalam tuntutan palsu yang menggunakan dokumen tuntutan mengandungi butiran palsu kira-kira RM10 juta.
Perintah reman selama empat hari hingga 20 Nov itu dikeluarkan oleh Pendaftar Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Mengikut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 40-an itu dipercayai ditahan kira-kira 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan itu pada tahun 2019 sehingga tahun ini.
“Tangkapan terhadap suspek adalah susulan penahanan seorang bekas pengurus kanan kejuruteraan sebuah syarikat pengeluaran barang keperluan asas berkaitan tuntutan palsu dan penipuan kira-kira RM2 juta pada Rabu minggu lepas.
“Suspek yang juga pengurus sebuah syarikat pembaikan mesin di sebuah kilang pengeluaran barang keperluan asas disyaki telah mengemukakan tuntutan palsu syarikatnya bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan serta memberi rasuah kepada kakitangan syarikat yang meluluskan tuntutan palsu berkenaan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial