EKONOMI > BERITA

Penglibatan Pembeli Premium Pada MIHAS Berupaya Tingkatkan Eksport - MATRADE

17/11/2024 06:26 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

DUBAI, 17 Nov (Bernama) -- Penglibatan pembeli premium pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dilihat sebagai landasan terbaik untuk mengembangkan perniagaan pempamer Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sebagai contoh, MIHAS@Dubai 2024 yang julung kali diadakan di luar Malaysia bakal menampilkan seramai 20 pembeli premium dari seluruh dunia.

“Penyertaan syarikat-syarikat dalam kategori pembeli premium ni akan menjadi platform kepada syarikat-syarikat pengeksport di Malaysia untuk menembusi pasaran-pasaran yang mungkin sukar ditembusi secara persendirian.

“Barangkali dengan adanya program (INSP) seperti di MIHAS, ia dapat menjadi “batu loncatan” kepada syarikat-syarikat Malaysia ini untuk melakukan lonjakan yang lebih tinggi (dalam perniagaan),” katanya pada sidang media bersempena program MIHAS@Dubai 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pengiktirafan yang diperoleh daripada badan-badan pengiktirafan antarabangsa seperti Guinness World Records, World Trade Promotion Organization (WTPO) dan UFI (the Global Association of the Exhibition Industry) telah memudah cara penganjuran MIHAS@Dubai 2024 ini.

“Bila MIHAS sudah menjadi jenama (terkenal), bukan hanya pempamer mahu sertainya, tetapi pembeli juga mahu datang, sebab mereka tahu MIHAS ini sebuah program pameran perdagangan yang boleh dipercayai, berprestij dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Jika MIHAS bukan jenama terkenal, agak sukar untuk kita dapatkan pembeli-pembeli tersohor dari luar negara untuk datang. Jika tidak dapat bawa pembeli, mana mungkin kita dapat melonjakkan eksport dalam kalangan pengeksport,” katanya.

MIHAS@Dubai 2024 anjuran MATRADE dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 18 November, 2024, bersama-sama Ekspo Organik dan Produk Asli Timur Tengah (MENOPE) yang dinaungi Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE.

Pameran tersebut bakal dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mana beliau akan turut bertemu dengan pihak-pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.

Bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Dubai, MIHAS@Dubai 2024 menampilkan 250 syarikat tempatan daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik dan gaya hidup.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan