EKONOMI > BERITA

IndiGo Mula Penerbangan Terus Chennai-Pulau Pinang Pada 21 Disember Depan

19/11/2024 06:11 PM

GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) -- Sektor pelancongan Pulau Pinang dijangka menerima rangsangan besar dengan pengumuman penerbangan terus harian di antara Chennai, India dengan Pulau Pinang oleh IndiGo Airlines (IndiGo).

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE) Wong Hon Wai berkata, mulai 21 Dis, 2024, laluan baharu ini akan menjadi satu-satunya hubungan terus di antara kedua-dua bandar, malah tiket kini boleh didapati untuk dibeli di laman web rasmi IndiGo.

Beliau berkata, pelancaran laluan baharu berkenaan merupakan perkembangan penting dalam usaha Pulau Pinang mengeratkan hubungan dengan India.

Dalam pada itu, katanya, inisiatif ini juga merupakan susulan lawatannya ke India awal tahun ini apabila beliau mempromosikan sektor pelancongan dan perniagaan Pulau Pinang serta membincangkan potensi kerjasama dengan pihak berkepentingan pelancongan India termasuk syarikat penerbangan kos rendah India, IndiGo.

"Saya yakin hubungan langsung ini akan memberi rangsangan yang signifikan kepada perjalanan, perniagaan dan lawatan keluarga di antara India dengan Pulau Pinang, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan budaya kita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wong berkata hubungan ekonomi serta budaya Pulau Pinang dengan Tamil Nadu terutamanya dengan Chennai adalah amat penting dan sebagai bandar kelima terbesar di India, Chennai yang mempunyai populasi melebihi 12 juta, berpotensi besar menjadikan laluan itu sebagai trafik penumpang.

Menurutnya, walaupun India kini tidak tersenarai dalam 10 negara sumber pelancong utama ke Pulau Pinang, namun laluan baharu tersebut akan dengan pantas meletakkan India sebagai satu daripada pasaran pelancongan utama negeri ini.

Wong berkata, PETACE juga komited kepada strategi untuk mempelbagaikan pasaran sumber pelancong Pulau Pinang bagi memastikan pertumbuhan pelancongan yang mampan.

"Untuk menarik pelancong antarabangsa dari pelbagai negara, Pulau Pinang bukan sahaja meningkatkan keterlihatan globalnya tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran selain menyebarkan risiko pasaran," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan