KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) meraih prospek perdagangan bernilai lebih RM300 juta di Ekspo Import Antarabangsa China Ketujuh (CIIE) di Shanghai, melebihi sasaran asal sebanyak RM160 juta.
Matrade berkata, produk Malaysia seperti komponen plastik untuk elektrik dan elektronik, barangan puiter, kasut, makanan tambahan kesihatan dan makanan berasaskan durian mendapat permintaan tinggi sepanjang acara berkenaan.
“Pencapaian luar biasa ini menunjukkan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk Malaysia di pasaran China yang membuktikan daya tarikan berterusannya dalam kalangan pengguna di China,” kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata perbadanan itu memainkan peranan penting memperkasa kedudukan Malaysia di peringkat global menerusi penyertaan dalam pelbagai acara antarabangsa seperti CIIE.
“Inisiatif seperti perkongsian strategik, padanan perniagaan bersasar dan aktiviti promosi yang disesuaikan telah mewujudkan peluang besar yang secara langsung memberi manfaat kepada peniaga tempatan.
“Penyertaan kita dalam CIIE mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Malaysia untuk mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran global dan mengembangkan perdagangan terutama dengan China,” katanya.
Matrade turut menekankan usaha untuk meningkatkan kehadiran Malaysia di pasaran China menerusi kempen pasaran digital, promosi media sosial, sesi penstriman langsung yang menampilkan pemimpin tempatan serta inisiatif bersama media.
Pavilion Malaysia di CIIE Ketujuh adalah anjuran bersama Bank of China (Malaysia) Bhd, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Seri Pajam Development Sdn Bhd yang disertai 16 pempamer dari Malaysia.
Sempena memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, Malaysia dipilih sebagai salah satu daripada enam tetamu kehormat, bersama Arab Saudi, Perancis, Nicaragua, Uzbekistan dan Tanzania.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial