EKONOMI > BERITA

WCT Raih Anugerah Pencapaian Antarabangsa Di MCIEA 2024

21/11/2024 10:51 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- WCT Bhd, yang merupakan bahagian kejuruteraan dan pembinaan WCT Holdings Bhd (WCT) telah menggondol Anugerah Pencapaian Antarabangsa pada Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024 membabitkan kejayaan penyiapan Projek Pembangunan Lusail di Doha, Qatar.

WCT menerima pengiktirafan itu selepas berjaya membina serta menyiapkan infrastruktur dan kerja-kerja sivil bagi Boulevard Komersial seluas 38 kilometer persegi dalam Lusail City, yang ditauliahkan oleh Lusail Real Estate Development Company.

.Lusail City merupakan kawasan bandar terancang induk yang merangkumi daerah kediaman, hiburan termasuk komersial. Ia juga menempatkan Stadium Lusail yang agak terkenal, salah satu lokasi ikonik untuk Piala Dunia FIFA 2022.

Skop kerja komprehensif WCT Bhd termasuk pembinaan jalan raya serta tempat letak kereta bawah tanah, pemasangan utiliti basah dan kering selain sistem mekanikal, elektrik dan paip (MEP) untuk tempat letak kereta.

Syarikat itu juga menjalankan kerja-kerja struktur dan pembumian di bawah asas konkrit bersifat rakit di empat stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar tersebut.

Selain itu, ia menguruskan kerja-kerja seni bina, struktur dan MEP bagi empat pencawang, di samping memasang kabel rangkaian serta lampu jalan, menunjukkan kepakarannya dalam menyampaikan penyelesaian infrastruktur bersepadu.

Pengarah Urusan (Kejuruteraan dan Pembinaan) WCT, Anthony Teoh berkata pencapaian ini mencerminkan dedikasi serta kerja keras seluruh pasukan, menunjukkan keupayaan mereka untuk mengurus termasuk menyampaikan projek antarabangsa berskala besar yang memenuhi standard kualiti dan keselamatan yang ketat.

“Berdasarkan skop projek, yang melibatkan pelbagai rangkaian utiliti dan struktur konkrit bawah tanah pada kedalaman yang berbeza-beza, WCT telah mengguna pakai pendekatan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang inovatif untuk meningkatkan kemampanan.

“WCT bukan sahaja mampu memenuhi piawaian antarabangsa tetapi telah melangkauinya, menyampaikan projek tepat pada masa walaupun menghadapi kesukaran unik yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19, isu iklim dan logistik, serta sekatan darat, laut dan udara ke atas Qatar yang dikenakan oleh negara-negara Liga Arab,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Projek Pembangunan Lusail mewakili asas wawasan Qatar untuk muncul sebagai hab global.

Beliau ketika mengulas mengenai prospek masa hadapan firma itu berkata WCT kekal komited untuk mengejar kecemerlangan dalam projek tempatan dan antarabangsa yang akan datang.

Dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), MCIEA 2024 telah mengiktiraf pencapaian 70 pemain industri, memberi penghormatan kepada pemilik projek, kontraktor, perunding serta projek yang telah menunjukkan elemen kualiti, keselamatan dan kesihatan, produktiviti serta kemampanan dalam operasi mereka. 

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Datuk Mohd Zaid Zakaria berkata anugerah MCIEA bukan sekadar meraikan kejayaan tetapi juga mewakili kekuatan, semangat selain mengejar kecemerlangan tanpa henti yang akan menentukan industri berkenaan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sektor ini telah mengatasi halangan, menyesuaikan diri dengan keperluan yang berkembang dan melaksanakan teknologi baharu. Pandemik membawa gangguan yang tiada tandingannya, tetapi ia juga membawa peluang untuk mengubah dan mencipta semula.

“Penerima hari ini telah menangani cabaran-cabaran tersebut secara langsung dan mengubahnya menjadi kisah kejayaan yang akan memberi inspirasi kepada industri kami untuk tahun-tahun akan datang,” katanya lagi.

 Majlis anugerah MCIEA 2024 diserikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Isnin.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim dan Pengerusi CIDB Malaysia Yusuf Abd Wahab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan