Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- MIZU Paint berhasrat untuk menjadi peneraju dalam bahan binaan mampan yang mana, teknologinya boleh diterapkan ke dalam mana-mana keperluan sektor yang mahu menggunakan strategi mitigasi perubahan iklim.
Pengasas MIZU Paint, Rozzeta Dolah Ceng berkata Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2024 adalah antara platform yang ideal untuk mempamerkan inovasi dan mengukuhkan jenamanya.
“Pameran perdagangan seperti BuildXpo adalah penting untuk strategi pertumbuhan jangka panjang kami, ia berfungsi sebagai penghubung antara MIZU Paint dan industri pembinaan yang lebih luas.
“BuildXpo menyediakan 'peluru' bagi mempercepatkan proses penembusan pasaran dengan menjadi saluran langsung kepada pihak berkepentingan industri, membolehkan syarikat mengumpul maklum balas masa nyata, mempercepatkan penyesuaian diri dengan perubahan pilihan pengguna selain memperhalusi produk kami dalam memenuhi standard pasaran," katanya kepada Bernama.
BuildXpo mempamerkan trend terkini, amalan kelestarian termasuk teknologi termaju dalam industri pembinaan yang diadakan mulai 22 Okt hingga 24 Okt 2024.
Majlis itu dihoskan oleh Kementerian Kerja Raya, ia merupakan anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd (Qube).
Dengan 500 gerai pameran serta 200 peserta pameran, BuildXpo menarik penyertaan dari negara-negara seperti China, Sepanyol, Indonesia, Singapura, Australia, Bangladesh dan Jepun.
Ia berfungsi sebagai platform strategik bagi pertukaran pengetahuan, rangkaian selain memupuk inovasi dalam kalangan profesional industri , dengan tumpuan untuk memodenkan sektor pembinaan.
Ia juga bermatlamat menarik bakat muda, menangani cabaran tenaga kerja dan menggalakkan amalan pembinaan hijau yang mampan untuk memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang.
Rozzeta menyerlahkan bahawa BuildXpo telah memainkan peranan penting dalam perjalanan MIZU Paint kerana apabila syarikat itu menyertai pameran semasa 2023, catnya masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan serta dalam proses mengumpul pandangan daripada pakar industri dan bakal pelanggan.
“Maklum balas mereka membantu menambah baik produk kami dan hubungan yang kami buat meletakkan asas kepada pertumbuhan syarikat.
“Memasuki 2024, kami sangat teruja untuk kembali dengan produk yang sudah tersedia dipasarkan iaitu cat penjerap karbon dioksida (CO2) pertama di dunia,” katanya.
Rozzeta berkata cabaran paling ketara bagi MIZU Paint ialah mengesahkan usaha penyelidikan dan pembangunan mereka untuk memastikan produk itu memenuhi standard industri yang ketat.
“Ia memerlukan ujian dan penghalusan yang meluas untuk menyelaraskan prestasi cat kami dengan jangkaan teknikal pasaran.
“Setiap langkah adalah penting memandangkan kami perlu mengesahkan tanda aras ketahanan, keselamatan serta dan kemampanan sebelum beralih ke pengkomersilan," katanya.
Sejajar dengan usaha pembangunan dan pengembangan rangkaian produk syarikat itu, penyertaan ke dalam BuildXpo membantu MIZU Paint kekal beriringan dengan keperluan pasaran serta trend baru muncul.
"Ini membolehkan kami meramal permintaan masa depan sambil mengukuhkan komitmen kami kepada industri tempatan.
"Dengan memacu inovasi bersama rakan perniagaan yang lain, kami menyumbang kepada pertumbuhan mampan sektor ini secara keseluruhan," tambahnya lagi.
Paling penting, penglibatan MIZU Paint dengan CIDB telah menjadi pemacu utama dalam perjalanan kami iaitu daripada konsep kepada pengkomersilan.
“CIDB telah memberikan sokongan yang tidak ternilai dalam beberapa cara, membantu kami menavigasi kerumitan industri pembinaan termasuk memastikan MIZU Paint memenuhi piawaian yang diperlukan bagi prestasi dan keselamatan.
“Sokongan mereka bukan sahaja membantu mengesahkan kesediaan pasaran MIZU Paint tetapi juga meletakkan kami sebagai pemain yang berfikiran ke hadapan dalam ruang pembinaan yang mampan. Perkongsian berterusan mereka adalah penting ketika kami meningkat dan mengembangkan jangkauan kami, di peringkat tempatan serta antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial