EKONOMI > BERITA

Bank Muamalat Terima Anugerah Kecemerlangan Perbankan Islam Sedunia Di London

25/11/2024 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd telah diberi penghormatan melalui 'Anugerah Kecemerlangan Perbankan Islam Sedunia' yang julung kali diadakan pada Forum Kepimpinan Muslim Sedunia (WMLF) 2024 yang berprestij di London, United Kingdom (UK) pada Jumaat lepas.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Negara di Jabatan Kerja dan Pencen UK Sir Stephen Timms kepada Pengerusi Bank Muamalat Tan Sri Tajuddin Atan serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamarudin di House of Lords yang bersejarah, Istana Westminster.

Bank Muamalat melalui satu kenyataan berkata pengiktirafan itu meraikan sumbangan teladan bank tersebut kepada masyarakat, kepimpinan perniagaan serta usaha memajukan inisiatif kewangan sosial, ia telah  menetapkan penanda aras untuk kecemerlangan dalam perbankan beretika, kepimpinan dan kemampanan.

“WMLF, yang dianjurkan oleh School of Oriental and African Studies, University of London, telah lebih sedekad, menyediakan platform untuk perbincangan mengenai peranan kepimpinan Muslim dalam menangani cabaran global moden.

“Forum itu menghimpunkan pemimpin pemikiran, penggubal dasar termasuk pakar industri dalam meneroka jalan bagi inovasi, kerjasama serta perubahan masyarakat yang positif, merapatkan dunia Islam dan Barat,” katanya.

Mengulas anugerah itu, Tajuddin berkata bahawa pengiktirafan itu menekankan dedikasi pasukan selain mengesahkan komitmen mereka untuk menyampaikan penyelesaian perbankan yang inovatif dan beretika.

“Selaras dengan visi kami untuk menjadi bank Islam yang teguh di Malaysia, kami memperkasakan individu, menyokong perniagaan dan memajukan pembangunan mampan di seluruh Malaysia serta seterusnya, melalui perbankan patuh Syariah,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan anugerah itu mengesahkan Bank Komitmen Muamalat terhadap pemerkasaan komuniti dan memperjuangkan prinsip perbankan beretika yang akan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Jawatankuasa pemilihan WMLF menganugerahkan Bank Muamalat atas kecemerlangannya dalam perniagaan, kepimpinan dalam kewangan sosial dan komitmennya terhadap ekonomi inklusif. Bank itu kekal teguh dalam menyokong aspirasi kewangan pelanggan sambil mengembangkan jangkauan perkhidmatan kewangan patuh Syariah di peringkat global.

Untuk maklumat lanjut tentang produk dan perkhidmatan Bank Muamalat, lawati www.muamalat.com.my atau berhubung dengan pusat khidmat pelanggan pada 03-26005500.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan