EKONOMI > BERITA

Potensi Pelaburan Dijana Dari Korea Selatan, Termasuk Sektor Berkaitan Tenaga - MITI

26/11/2024 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Potensi pelaburan yang dijana semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan meliputi sektor kimia, automotif termasuk kenderaan elektrik (EV), logam untuk kegunaan EV, biofarmaseutikal serta teknologi hijau seperti hidrogen dan ammonia hijau.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata senarai pelaburan itu akan diumumkan kelak.

Bagi potensi eksport pula, produk yang bakal diimport oleh Korea Selatan dari Malaysia termasuk minyak sawit, bahan api bio, produk makanan serta bahan kegunaan industri francais (seperti sarung tangan industri).

Beliau berkata Korea Selatan ialah rakan dagang yang penting dan menjadi antara pelabur utama di Malaysia.

“Kami mengalu-alukan potensi pelaburan RM32.8 bilion, serta potensi eksport RM1.3 bilion oleh syarikat-syarikat Korea Selatan yang pasti akan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala Malaysia-Korea Selatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Malaysia turut mengalu-alukan kerjasama dalam pelbagai bidang baharu dan berpotensi tinggi seperti automotif, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, industri halal, pembuatan termaju dan kecerdasan buatan, terutama dengan hubungan diplomatik yang dipertingkat kepada kerjasama strategik, katanya.

Tengku Zafrul berkata kerjasama itu akan membolehkan Malaysia memanfaatkan peluang baharu dan seterusnya mencapai objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030 yang bakal memberi impak positif kepada ekonomi.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan pihaknya melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah mengaturkan penyertaan sembilan syarikat Malaysia dan satu dewan perniagaan dalam lawatan rasmi ke Korea Selatan.

Sebanyak 50 program padanan perniagaan yang diaturkan telah membolehkan syarikat Malaysia dan Korea Selatan membina kerjasama dan kolaborasi perniagaan pada masa hadapan. 

MITI memaklumkan bahawa semasa lawatan rasmi Perdana Menteri itu, Tengku Zafrul turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan, Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan, Cheong Inkyo bagi membincangkan pelbagai isu, termasuk status rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea yang dijangka dimuktamadkan pada tahun hadapan.

Kedua-dua menteri turut menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman antara syarikat Malaysia dan Korea Selatan dalam bidang penggalakan perdagangan, teknologi maklumat dan komunikasi, hidrogen dan pembangunan bandar pintar. 

Dari segi pelaburan asing, Korea Selatan menjadi antara negara sumber pelabur terpenting dalam sektor pembuatan sejak 1980.

Sehingga Jun 2024, jumlah nilai pelaburan dengan penyertaan Korea Selatan yang telah dilaksanakan adalah RM43.9 bilion (US$11.7 bilion) melibatkan 399 projek dan telah mewujudkan 49,234 peluang pekerjaan.

Daripada jumlah pelaburan itu, sebanyak 392 projek bernilai RM43.1 bilion (US$11.5 bilion) adalah dalam sektor pembuatan manakala tujuh projek bernilai RM800 juta (US$183.3 juta) dalam sektor perkhidmatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan