EKONOMI > BERITA

MIDF Kekal Optimis Terhadap Prospek Perdagangan Malaysia

03/12/2024 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd kekal optimis tentang prospek perdagangan Malaysia dan prospek pertumbuhan sektor pembuatan, memandangkan permintaan eksport yang bertambah baik.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma itu berkata ia menjangkakan aktiviti pengeluaran Malaysia akan terus berkembang, disokong oleh pemulihan dalam permintaan luar.

Menurut Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan mengikut musim pada November 2024, pesanan eksport daripada pasaran antarabangsa menaik, berkemungkinan disebabkan oleh permintaan yang semakin meningkat di seluruh rantau Asia Pasifik.

Bagaimanapun, indeks berkenaan merosot kepada 49.2 pada November 2024 (Oktober 2024: 49.5), bacaan terendah dalam tujuh bulan dan meneruskan penguncupan selama enam bulan berturut-turut.

Penurunan pada November 2024 mencerminkan kelemahan menyeluruh dalam sektor pembuatan, disebabkan oleh penguncupan dalam pesanan-pesanan baharu, output dan tahap inventori.

Pesanan baharu misalnya mencatatkan kejatuhan paling besar dalam tempoh tujuh bulan. Tunggakan kerja menjadi stabil dan mencapai tahap tertinggi selama empat bulan, sebahagian besarnya disebabkan oleh kapasiti pengeluaran yang terhad.

Aktiviti pembelian, bersama-sama dengan stok input dan barang siap menyusut pada kadar yang lebih perlahan.

Selain itu, masa penghantaran terus menjadi panjang untuk bulan ketujuh berturut-turut, sebahagian besarnya disebabkan gangguan rantaian bekalan yang dikaitkan dengan krisis Laut Merah yang berterusan.

Tekanan kos bagi pengilang bertambah apabila harga input meningkat, terutamanya didorong oleh harga komoditi yang lebih tinggi dan ringgit yang menyusut, walaupun pada kadar paling perlahan dalam tempoh sembilan bulan.

Guna tenaga menunjukkan sedikit perubahan dan keyakinan perniagaan kekal kukuh tetapi di bawah purata jangka panjang 56.2 kerana syarikat kekal berhati-hati tentang garis masa yang tidak pasti bagi pemulihan terhadap permintaan dalam negeri.

Secara keseluruhannya, trajektori PMI mencerminkan aktiviti yang masih lembap dalam sektor pembuatan, dengan tekanan menurun daripada permintaan yang perlahan dalam negeri dan kejutan luaran seperti harga bahan mentah yang meningkat dan gangguan rantaian bekalan global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan