KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Edisi ke-10 Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2024) yang diadakan dari 5 hingga 11 Dis, 2024 merupakan platform penting untuk inovasi terkini dalam bidang automotif dan mobiliti.
Dengan hampir 70 jenama automotif dan mobiliti terkemuka dipamerkan, acara itu menekankan kemampanan dan elektrifikasi sebagai teras inovasi.
Acara pada tahun ini bertemakan "Beyond Mobility" yang menampilkan peserta terkenal seperti Toyota, Perodua, Proton, Honda, Mitsubishi, Nissan dan banyak lagi serta menarik 183,221 pengunjung sepanjang tujuh hari penganjurannya.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain berkata pameran ini menonjolkan pengaruh Malaysia yang semakin berkembang dalam landskap mobiliti global.
"KLIMS 2024 memperlihatkan komitmen Malaysia dalam membentuk masa depan pengangkutan dan ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pemain utama dalam ekosistem mobiliti global serta memberi inspirasi untuk bekerjasama dan inovasi merentas industri."
"Kami teruja untuk membina momentum ini, memacu kemajuan dan menetapkan penanda aras baharu sambil mengemudi masa depan mobiliti," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mohd Shamsor berkata KLIMS 2024 tidak akan tercapai tanpa sokongan dermawan daripada penaja-penajanya termasuk UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), Perodua Sales Sdn Bhd, DRB-HICOM EZ-Drive Sdn Bhd (Avis Malaysia) dan banyak lagi.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Richard Teo berkata KLIMS 2024 menjadi platform yang luar biasa untuk memupuk kerjasama, mempamerkan reka bentuk inovatif dan memberi inspirasi untuk masa depan pengangkutan.
"Sebagai pengurus pameran KLIMS 2024, kami berbangga dapat menganjurkan acara yang bukan sahaja menampilkan yang terkini dalam industri automotif, tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai pusat inovasi dan kemampanan dalam mobiliti."
"Kami bersyukur atas sokongan luar biasa daripada para pempamer, rakan kongsi dan 183,221 pengunjung, sementara kami menantikan untuk terus meningkatkan lagi kualiti dalam edisi-edisi akan datang dalam acara berprestij ini," katanya.
Menurut kenyataan tersebut, para pempamer diraikan di atas kreativiti dan kecemerlangan reka bentuk yang luar biasa dengan Anugerah Reka Bentuk Reruai Terbaik yang berprestij selain turut diiktiraf pemenang cemerlang dalam pelbagai kategori.
Dalam kategori pengeluar peralatan tulen (OEM) (400 meter persegi (m²) dan ke atas), UMWT menduduki tempat pertama diikuti Proton Holdings Bhd di tempat kedua dan Perodua Sales Sdn Bhd di tempat ketiga.
Stellantis Malaysia Sdn Bhd muncul sebagai pemenang keseluruhan dalam kategori OEM (399 m² dan ke bawah) manakala dalam kategori bukan OEM, PECCA Leather Sdn Bhd menduduki tempat pertama diikuti oleh Wedrink Enterprise Management (Malaysia) Sdn Bhd di tempat kedua dan Didi Group di tempat ketiga.
KLIMS 2024 juga memeriahkan pengunjung dengan hadiah-hadiah menarik dengan Mohd Azzarain Abdul Aziz memenangi Toyota Yaris 1.5G Limited sebagai hadiah utama dan Leaw Xiu Qi membawa pulang Perodua Axia sebagai hadiah pertama.
Hadiah-hadiah ini bersama kejayaan pameran diraikan semasa Majlis Minum Petang yang dianjurkan oleh MAA apabila para pempamer diiktiraf di atas kreativiti dan inovasi mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial