AM > BERITA

MTA LANCAR PASUKAN BANTUAN BENCANA TAKAFUL4ALL BANTU MASYARAKAT TERJEJAS

16/12/2024 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) melancarkan 'Takaful4All Disaster Relief Team' sebagai satu daripada inisiatif membantu mangsa yang terjejas akibat bencana, khususnya banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful IKHLAS) Datuk Rudy Rodzila Che Lamin yang mengetuai pasukan itu berkata usaha berkenaan bertujuan menyediakan bantuan segera kepada komuniti yang memerlukan serta mendidik masyarakat supaya lebih bersedia menghadapi bencana pada masa hadapan.

"Pasukan ini adalah inisiatif strategik MTA melibatkan sukarelawan daripada syarikat-syarikat takaful. Mereka akan menerima latihan intensif daripada pihak yang tertentu bagi memastikan kecekapan operasi bantuan dapat ditingkatkan.

"Pasukan ini akan beroperasi di Kuala Lumpur dengan sasaran keanggotaan antara 50 hingga 100 ahli sukarelawan, yang akan dilatih dengan kemahiran asas bantuan bencana melalui modul latihan yang dikendalikan oleh profesional," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Takaful4All Sustainability Day 2024 yang turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed, Ketua Retakaful Swiss Re Asia Ltd, Marcel Omar Papp dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Yusri Basri.

Rudy Rodzila yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Interim MNRB Holdings Berhad berkata latihan yang diberikan meliputi kemahiran seperti bantuan pernafasan (CPR), teknik penyelamatan dan pengurusan logistik kecemasan. 

"Pasukan ini juga akan membantu usaha pembersihan pascabencana termasuk di masjid, sekolah dan tempat awam yang terjejas serta membuat kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak mengikut keperluan dan kemampuan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Takaful4All Sustainability Day 2024, Mohd Radzuan berkata syarikat-syarikat takaful telah mengambil bahagian dengan mempamerkan produk-produk berorientasikan kelestarian di persekitaran rerurai mereka, sekali gus memperlihatkan bahawa acara ini mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pengendali Takaful dalam industri ini. 

"Para penaja termasuklah AIA PUBLIC Takaful Bhd., Takaful IKHLAS dan Malaysian Reinsurance Berhad sebagai Penaja ‘Silver’, manakala Sun Life Malaysia Takaful Bhd dan Zurich General Takaful Malaysia Bhd merupakan Penaja ‘Bronze’. Etiqa Takaful turut menyumbang sebagai rakan strategik dalam menjayakan program ini.

“Acara ini berjaya menarik lebih 500 peserta, terdiri daripada wakil industri takaful dan orang awam yang berminat untuk menyokong usaha kelestarian. Pelbagai aktiviti dianjurkan, termasuk Larian Hero Hijau sejauh lima kilometer, bengkel 'Zero Waste Lifestyle' dan pameran interaktif daripada pelbagai pengendali takaful,” katanya.

Beliau turut berharap acara seperti itu dapat dijadikan acara tahunan memandangkan ia dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan memelihara sumber semula jadi dalam kalangan pemain industri takaful.

"Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Hijrah27 Strategic Thrust 8 (ST8) yang memberikan fokus kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta menonjolkan komitmen industri terhadap usaha kelestarian," katanya.

Mohd Radzuan memaklumkan usaha tersebut juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Kumpulan Kerja 4 Hijrah27, yang menekankan peranan industri Takaful dalam memajukan kesan positif terhadap alam sekitar dan masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan